FAMA Melaka sasar RM400,000 hasil jualan My Best Buy

BANDARAYA MELAKA 26 Feb. – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka menjangkakan hasil jualan My Best Buy tahun ini meningkat kepada RM400,000 berbanding RM371,477.55 tahun lalu.
Pengarahnya, Che Samudin Hassan berkata, pihaknya juga nekad memperkasakan lagi penganjuran My Best Buy di negeri ini menerusi pembukaan tapak FAMA di beberapa lokasi baharu.
Katanya, walaupun nilai jualan tahun lalu menurun berbanding 2017 yang mencatatkan nilai jualan sebanyak RM468,000, namun beliau yakin ia dapat ditingkatkan kembali berdasarkan inisiatif yang sedang dilakukan.
“Antara yang sedang dirancang adalah peningkatan penganjuran sebanyak 60 kali menerusi pembukaan tapak baharu atau tapak tetap FAMA yang sedang lihat.
“Supaya masyarakat mampu mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga yang lebih rendah berbanding pasaran dan menjana pendapatan kepada usahawan bimbingan FAMA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian My Best Buy dan Jualan terus Dari Ladang peringkat negeri 2019 di Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini sebentar tadi.
Che Samudin turut menyarankan lebih ramai usahawan bimbingan FAMA menyertai program terbabit supaya masyarakat mampu memperoleh barangan pada harga rendah, menjana ekonomi setempat.
“Menerusi My Best Buy, usahawan bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan, tetapi pengguna mampu memperoleh keperluan berkualiti dan segar terus dari ladang dengan harga lebih murah berbanding pasaran,” katanya.
Sementara itu, tahun 2017 mencatatkan nilai jualan tertinggi (RM468,000), diikuti 2018 (RM371,477.55), manakala tahun 2014 mencatatkan nilai jualan terendah iaitu hanya RM35,000 berdasarkan rekod pencapaian lima tahun sehingga Februari 2019 (RM70,000).