FAMA promosi produk tempatan ke Jepan sempena Sukan Olimpik
Syabas FAMA....

AYER KEROH 25 Feb – Lembaga Permasaran Pertanian Malaysia (FAMA) akan mempromosikan produk keluaran tempatan ke Jepun pada Julai hingga September ini sempena penganjuran Sukan Olimpik 2020.
Pengarah Cawangan Pembangunan Eksport FAMA, Mohd Ridzuan Sirun berkata, setakat ini produk keluaran usahawan FAMA berjaya menembusi pasaran di Timur Tengah terutamanya di Jeddah sempena musim haji yang lalu.
Katanya, pihaknya akan terus menggiatkan usaha untuk membolehkan produk usahawan FAMA menembusi pasaran Qatar dan Dubai serta negara Asia yang lain.
“Sempena Sukan Olimpik tahun ini, kita bekerjasama dengan pihak kementerian (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani) serta SME Corp (Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia) akan mempromosikan produk Malaysia.
“Produk itu dipasarkan menerusi Malaysia Street yang diadakan di Jepun bermula pada Julai hingga September 2020,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Seminar Tatacara dan Prosedur Pengeksportan Produk Makanan Proses ke Pasaran Luar Negara Zon Selatan 2020 di sini.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Galakan Pasaran Luar Negara FAMA, Noorsham Ramly dan turut dihadiri Pengarah FAMA negeri, Che Samudin Hassan.
Sementara itu, kebanyakan usahawan di peringkat mikro menghadapi masalah untuk memasarkan produk makanan mereka ke pasaran luar berikutan tidak menepati syarat ditetapkan.
“Kita banyak menerima permintaan untuk membawa produk usahawan ke pasaran luar, hampir tiap-tiap minggu ada produk baru.
“Bagaimanapun, dari segi kesediaan itu usahawan ini tidak menepati syarat ditetapkan seperti mendapatkan pensijilan halal, pembungkusan dan pelabelan,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya seminar itu turut bertujuan untuk mengenal pasti permasalahan yang dialami usahawan FAMA bagi memenuhi keperluan mereka pada masa akan datang.
Katanya, seminar ini sudah diadakan di bahagian zon utara dan selatan yang membabitkan usahawan dari negeri Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.
“Selepas ini kita akan adakan di bahagian Timur bagi usahawan dari negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum diperluaskan di negeri Sabah dan Sarawak,” katanya.