FAMA sasar RM3 juta bagi BPR 2020

FAMA sasar RM3 juta bagi BPR 2020

DURIAN TUNGGAL 24 Feb. – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan kira- kira RM3 juta menerusi Bazar Peduli Rakyat (BPR) sepanjang tahun ini.

Pengerusinya, Ishak Ismail berkata, sasaran itu dianggarkan pihaknya dengan perancangan penambahan lebih 50 lokasi baharu pada tahun ini berbanding hanya 80 tahun lalu.

“Sejak diperkenalkan BPR pada Februari tahun lalu, FAMA telah merekodkan nilai jualan RM1. 067 juta yang diadakan di 80 lokasi seluruh negara dengan membabitkan 618 usahawan.

“Untuk tahun ini kita menjangkakan nilai jualan meningkat kepada RM3 juta dengan BPR akan diadakan sebanyak 200 kali dilokasi terpilih seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Bazar Peduli Rakyat di Japerun Durian Tunggal, di sini, baru- baru ini.

Hadir sama pada program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab; Setiausaha Sulit Ketua Menteri, Yuhaizad Abdullah; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mazlan Aliman serta Pegarah Fama negeri, Che Samudin Hasan.

Ishak berkata, melalui jualan BPR ini, ia bukan hanya menawarkan penjimatan kepada pembeli malah memberi manfaat kepada usahawan yang terbabit dalam program jualan.

“Melalui program ini usahawan dapat manfaat apabila mereka menjual hasil pertanian atau produk terus kepada pengguna dengan peningkatan kira-kira 40 peratus berbanding perlu menjualnya kepada pemborong,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada program itu turut diraikan golongan yang kurang berkemampuan melalui Program Jom Kongsi Rezeki antaranya anak yatim, ibu tunggal, orang kurang berkemampuan serta golongan B40.

“Untuk kali ini di BPR Durian Tunggal seramai 40 penerima diraikan apabila diberikan sumbangan keperluan harian,” katanya.

CATEGORIES