Fasa peralihan monsun bermula hari ini

AYER KEROH 19 Mac – Malaysia dijangka memasuki fasa peralihan monsun yang lazimnya akan berlaku ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang singkat mulai hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan Jumaat lalu berkata, keadaan cuaca berpotensi menyebabkan banjir kilat.
Memetik kenyataan itu, fasa peralihan monsun itu dijangka berterusan hingga pertengahan Mei depan.
“Dalam tempoh ini, beberapa kawasan dalam negara akan menerima tiupan angin dari pelbagai hala dengan kelajuan yang lemah, sesuai bagi pembentukan awan ribut petir.
“Permulaan fasa peralihan monsun itu sekali gus memberi tanda berakhirnya Monsun Timur Laut yang telah bermula sejak Oktober tahun lalu,” katanya.
Menurut kenyataan, keadaan cuaca buruk itu biasanya berlaku pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan negeri- negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah serta kawasan barat dan tengah Sarawak.
Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati ketika tempoh fasa peralihan monsun dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan oleh jabatan itu menerusi laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial.