‘Festival Kuih Bulan’ lambang keharmonian kaum

‘Festival Kuih Bulan’ lambang keharmonian kaum

ADLY ketika merasmikan Festival Kuih Bulan di Jalan Jonker, baru-baru ini

BANDARAYA MELAKA 29 Sept. – Festival Kuih Bulan yang menjadi tradisi masyarakat Cina di negara ini wajar dipelihara dan kerana selain diraikan, ia juga menjadi medan keharmonian antara kaum dan merapatkan jurang perbezaan.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, Melaka adalah negeri yang sentiasa bergerak ke hadapan, tidak boleh mengabaikan seni warisan dan kebudayaan kaum yang mencorakkan negeri ini.

Katanya, festival yang diraikan Kaum Cina itu perlu dihargai kerana kemeriahannya adalah sebahagian dari warna-warni keharmonian kaum di Melaka.

“Ia secara tidak langsung telah memberi peluang kepada orang ramai khasnya lain-lain kaum untuk mendekati dan memahami perayaan ini.

“Sekali gus, dapat memulihara perhubungan antara kaum, mengelak daripada salah sangka serta peka kepada sensitiviti kaum masing-masing”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perasmian Festival Kuih Bulan Anjuran Gabungan Persatuan Tionghua Jalan Jonker di sini, Jumaat lalu.

Hadir sama, Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong; Ahli Parlimen Kota Melaka, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Pengerusi Gabungan Persatuan Tionghua Jalan Jonker, Datuk Wira Tan Kang Yong,

Sementara itu, seorang pengunjung dari Port Dickson, Muhamad Sharizat b Muhamad Hastamizi, 34, yang hadir bersama isterinya menyifatkan tradisi kaum Cina itu amat menarik dan mencerminkan keunikkan kaum di negara ini.

Bapa kepada tiga orang anak itu turut memuji langkah Adly meraikan perayaan pelbagai kaum.

“Amat menyeronokkan, tiada apa yang perlu dirisaukan tentang rusuhan kaum, jika perayaan dan program penyatuan kaum seperti festival ini diraikan setiap masa.

“Boleh lihat juga penyertaan masyarakat berbilang kaum dan juga pelancong dari luar negara yang mengikut sama tradisi ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Wanita Engchoon Melaka, Lim Ting Theng, 59 berkata, penganjurkan kali ini amat meriah, jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya

“Berbanding tahun-tahun lalu, kali ini amat meriah dengan penyertaan dari rakyat berbilang kaum.

“Saya suka melihat, semua rakyat berbilang kaum bermesra antara satu sama lain” katanya.

Terdahulu, Adly yang hadir pada jam 8.10 malam, sempat meluangkan masa menikmati juadah kaum Tiong Hua di Jalan Jonker sebelum melawati beberapa premis sepanjang jalan berkenaan.

CATEGORIES
TAGS