FKEKK UTeM sepakat tingkat keceriaan fakulti

FKEKK UTeM sepakat tingkat keceriaan fakulti

DURIAN TUNGGAL 15 Mac – Warga kerja Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melaksanakan pendekatan tersendiri untuk meningkatkan keceriaan dan persekitaran kondusif fakulti berkenaan.

Mereka mengadakan program gotong –royong berkonsepkan ukhwah dan silaturrahim dengan melibatkan kakitangan pentadbiran serta akademik fakulti berkenaan baru-baru ini.

Dekan FKEKK UTeM, Profesor Madya Dr. Mohd Shakir Md Saat berkata, antara objektif diadakan program tersebut adalah bagi memupuk semangat kesukarelawan dan bekerja secara berpasukan dalam kalangan staf.

Jelas beliau, program itu turut membuahkan hasil bermanfaat bersama bagi mewujudkan persekitaran yang indah dan kondusif bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, ia turut menjadi medan dalam mewujudkan jalinan kemesraan dalam kalangan staf fakulti tersebut dari setiap unit, bahagian dan perjawatan yang pelbagai.

“Antara aktiviti yang dijalankan secara pengagihan kumpulan adalah seperti mengecat bilik-bilik tutorial menjadi bilik program pasca siswazah, susun atur kerusi dan meja serta perlatan.

“Sehubungan itu, kami turut mengambil peluang mengemas dan menjalankan proses penyisihan fail-fail dokumen di bilik fail serta peralatan yang terdapat di makmal-makmal fakulti ini,” ujar beliau lagi.

Menurut Dr. Shakir, keadaan fakulti yang kondusif dan menarik akan memberi keselesaan kepada pelajar untuk menimba ilmu pengetahuan, malah untuk keselesaan staf dan warga fakulti secara keseluruhannya.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua warga fakulti untuk bekerjasama dan berganding bahu untuk menceriakan dan membersihkan kawasan serta bangunan fakulti,” katanya.

 

CATEGORIES