‘Flyover’ baharu beri kelegaan buat pengguna

‘Flyover’ baharu beri kelegaan buat pengguna

AYER KEROH 6 Mac – Kesesakan lalu lintas antara isu utama sering diperkatakan di negeri ini terutamanya pada musim cuti mahupun waktu puncak.

Justeru itu, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan membina dua ‘flyover’ di Persimpangan MITC dan Peringgit bagi menyuraikan masalah berkenaan.

Dengan adanya inisiatif itu, ia sedikit sebanyak dapat memendekkan masa perjalanan pengguna jalan raya, sekali gus memberi lebih keselesaan kepada pelancong dan rakyat di negeri ini khususnya.

Seorang pengguna, Rozer Masudin, 31, berkata, dua flyover tersebut bukan sahaja memberi kemudahan kepada rakyat di negeri ini, malah menambah bilangan kedatangan pelancong ke Melaka.

“Selain beri manfaat kepada rakyat, ia bertepatan dengan sasaran kerajaan negeri menambah kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019.

“Saya lihat dengan adanya flyover ini, kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan setelah lama rakyat menunggu projek ini siap sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi MelakaKini.

Manakala, Noor Asmah Mohd Said, 55, berkata, sebagai peniaga kemudahan flyover itu sangat memberi manfaat kepadanya sewaktu ingin membeli barangan di pasaraya.

“Saya dapat jimatkan masa untuk beli barang niaga, biasanya hujung minggu jalan raya lebih sesak, namun sekarang terdapat pengurangan masa.

“Usaha ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan dan keselesaan kepada pengguna khususnya pada musim cuti termasuk hujung minggu,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Zulfahmy Lukman, 29, pula berkata, sebelum ini jika ingin ke pusat bandar akan mengambil masa kira-kira sejam untuk sampai berbanding sekarang.

“Alhamdulillah sekarang dapat pendekkan masa perjalanan di dua persimpangan tersebut. Ini memudahkan saya dan keluarga untuk keluar pada hujung minggu.

“Diharap akan terus ada usaha sebegini bagi memastikan kelancaran trafik di negeri ini lebih terurus di masa akan datang,” katanya.

CATEGORIES