Food Bank sasar golongan miskin tegar

Food Bank sasar golongan miskin tegar

BEMBAN 19 Mac – Usaha membantu golongan miskin tegar dan B40 diteruskan menerusi Program Food Bank Malaysia peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban di bawah penganjuran Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Datuk Dr. Wong Fort Pin berkata, ia dilaksanakan supaya golongan sasar mendapat kehidupan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa memikirkan masa hadapan penduduk dan sedia membantu menerusi pelbagai kaedah.

“Bagaimanapun untuk program ini hanya mereka yang benar-benar layak sahaja akan dipilih untuk menerimanya.

“Bagi mereka yang masih boleh berdikari dan mampu, kita mahu mereka terus berusaha mengubah kehidupan sendiri dan tidak bergantung kepada bantuan kerajaan sepenuhnya,” katanya kepada MelakaKini.

https://t.me/melakakinidotmy

Hadir sama, Pengarah KPDNHEP negeri, Jaiya Abu; Penghulu Bemban, Zainal Salam dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Ayer Panas, Ahmad Kassim.

Pada program tersebut, seramai 17 golongan kurang bernasib baik menerima bantuan Food Bank yang mana setiap makanan diberikan kepada mereka adalah makanan lebihan diperoleh dari pasaraya terpilih di negeri ini.

“Hari ini, KPDNHEP dengan kerjasama Kechara Soup Kitchen berpeluang menyumbangkan barangan makanan seperti roti, sayuran dan buah kepada penerima DUN ini.

“Walaupun jumlahnya tidak besar, namun bagi mereka yang menerimanya ia sangat bermakna. Saya harap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka,” katanya.

CATEGORIES