Fort Pin turun padang edar penutup mulut, hidung
Sama-sama tingkatkan penjagaan kesihatan diri

BEMBAN 6 Feb. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Datuk Dr Wong Fort Pin, turun padang bagi mengedarkan penutup mulut dan hidung kepada pengunjung pasar malam Taman Maju sempena program ‘Info On Wheel’, semalam.
Pengedaran penutup mulut dan hidung itu bertujuan memberi kesedaran dan langkah pencegahan wabak Novel Coronavirus (2019-nCoV).
Fort Pin berkata, program ‘Info On Wheel’ yang dilaksanakan Jabatan Penerangan Daerah Jasin itu adalah langkah terbaik untuk memberi pendedahan kepada rakyat mengenai cara menjaga kesihatan diri.
“Selain mengedarkan penutup mulut dan hidung, turut diedarkan risalah serta diberikan penerangan mengenai langkah pencegahan yang perlu dilakukan masyarakat untuk menjaga kesihatan diri.
“Saya turut berpesan kepada pengunjung, mereka mestilah sentiasa menjaga kebersihan diri, memakai penutup mulut dan hidung terutama apabila berkunjung ke tempat tumpuan ramai,” katanya.
Turut sama menjayakan Program ‘Info On Wheel’ ialah Penolong Pengarah PKPM, Nurhasnani Abdul Wahab dan Penolong Pengarah CMS Japen negeri, Norshimah Ariffin.