FTMK UTeM kongsi kepakaran

FTMK UTeM kongsi kepakaran

SESI Latihan Dalam Kumpulan bersama pengajar.

DURIAN TUNGGAL 1 Nov. – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan program Teens@Coding 2018 di kampus induknya di sini, baru-baru ini.

Program tersebut diadakan melalui Jabatan Kejuruteraan Perisian, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).

Ianya atas inisiatif berkongsi ilmu pengetahuan dan kepakaran dalam bidang Pengaturcaraan dan Sains Komputer.

Penganjuran program Teens@Coding 2018 itu bagi memberikan pendedahan tentang bidang itu untuk pelajar sekolah menengah dan guru-guru Sains Komputer dan Asas Sains Komputer.

Program dua sesi itu merupakan salah satu cabang FTMK UTeM untuk menyebarluas kesedaran terhadap bidang Pengaturcaraan dan Asas Sains Komputer kepada pelajar sekolah menengah selain memupuk minat pelajar sekolah menengah dalam bidang Teknologi Maklumat.

Dekan FTMK, Dr. Othman Mohd dalam ucapannya pada majlis penutup program itu berkata, program itu adalah program Jom Java dan Jom Merekabentuk Pangkalan Data melibatkan penyertaan ramai daalam kalangan pelajar dan guru sekolah dari dalam dan luar Melaka.

Katanya, pelbagai maklum balas positif diterima dari para peserta yang mahukan agar program ini dapat diteruskan lagi dengan modul lain pula secara berperingkat bagi memenuhi aspirasi pendidikan ICT negara.

Jelasnya, pengisian Kursus Jom Java merangkumi langkah-langkah mudah dalam memahami Java sehingga mampu membuat Aplikasi Tasbih ringkas.

Menurutnya, pengisian kursus itu dikendalikan oleh Maslita Abd. Aziz, Dr. Zahriah Othman dan Mashanum Osman.

Bagi penganjuran kursus digelar sebagai Jom Merekabentuk Pangkalan Data pula menggunakan kaedah ‘Unplugged CS’.

Iaitu pemahaman konsep asas pengkalan data tanpa bergantung kepada mana-mana Database Management System (DBMS) tertentu, katanya.

Program ini melibatkan tenaga pengajar terdiri Dr. Noraswaliza Abdullah, Prof. Madya Dr. Nurul Akmar Emran dan Dr. Safiza Suhana Kamal Baharin.

Turut hadir pada majlis penutup program itu, Ketua Jabatan Kejuruteraan Perisian, Prof. Madya Dr. Sanusi Azmi dan Penyelaras Program, Nor Hafeizah Hassan.

CATEGORIES