Gagal patuhi keselamatan: Produk pelancongan Melaka berdepan penilaian semula

Gagal patuhi keselamatan: Produk pelancongan Melaka berdepan penilaian semula

ADLY berkata demikian selepas melawat Penjara Sungai Udang, hari ini.

SUNGAI UDANG 8 Okt. – Beberapa produk pelancongan di negeri ini, mungkin diambil semula kerajaan negeri, diteruskan seperti biasa atau dihentikan sepenuhnya, jika didapati gagal mematuhi aspek keselamatan selepas penilaian dilakukan.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, buat masa ini antara produk yang sedang diberikan perhatian adalah Monorel Melaka.

Katanya, perkhidmatan produk pelancongan itu masih lagi beroperasi seperti biasa, namun kajian menyeluruh pelaksanaan setiap produk memerlukan penilaian semula seperti Zoo Melaka bagi menambah baik produk pelancongan negeri ini.

“Jika, melibatkan aspek keselamatan kita tidak akan tolak ansur, maka kena pastikan aspek penyelenggaraan dibuat dengan sempurna, itu sahaja.

“Kita akan mulakan penilaian dan kebanyakkan penilaian kepada agensi dan produk akan dibuat tahun ini dan tindakan akan diambil.

“Keputusan akan dibuat berdasarkan penilaian, jika tiada masalah, kita teruskan,”katanya ketika ditemui selepas lawatan ke Penjara Sungai Udang, hari ini.

Perkhidmatan Monorel Melaka di tebing Sungai Melaka kembali beroperasi tahun lalu selepas perkhidmatannya tergendala susulan masalah teknikal.

Produk pelancongan itu yang terbengkalai sejak 2013 kembali dihidupkan menerusi pelan transformasi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Sementara itu, antara lain yang dikaji turut melibatkan projek pembangunan Sungai Melaka Fasa 2.

Menurut Adly, kerajaan negeri akan melibat bagaimana projek itu mampu menjadi pemangkin ekonomi dan memberi kesan positif kepada peniaga tempatan serta menggamit lebih ramai pelancong ke Melaka.

“Fasa dua Sungai Melaka akan diumumkan dalam masa terdekat, dalam proses beberapa fasa itu telah kita ambil alih cuma kita akan mengumumkan dari segi pelaksanaan menyeluruh.

“Perkara ini sedang dikaji kerajaan negeri dan MBMB supaya ia dapat melibatkan kerjasama peniaga kecil untuk membangunkan Sungai Melaka,”katanya.

CATEGORIES
TAGS