Gajet undang gejala negatif – Zakri

AYER KEROH 31 Jan. – Penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak perlu dipantau bagi mengelak penyalahgunaan yang mengundang gejala negatif.
Penolong Pengarah Kanan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Melaka (family coach), Mohd Zakri Rihan berkata, ia rentetan ibu bapa yang gemar memberikan gajet
kepada anak-anak kecil.
Menurutnya, perkara itu tidak wajar dilakukan oleh ibu bapa kerana ia akan mengundang perkara yang negatif kepada anak-anak.
“Tindakan itu tidak wajar diteruskan, jika anak-anak masih kecil dan tidak mendapat pengawasan, mereka mungkin boleh terjebak dengan perkara yang tidak sepatutnya.
“Kalau ibu bapa mahu berikan gajet kepada anak-anak, saya sarankan supaya guna jalur lebar (WiFi) di rumah dan bukannya memberikan data kepada mereka,” katanya ketika dihubungi MelakaKini (MK) di sini, hari ini.
Jelasnya, zaman kini ibu bapa dilihat gemar memberikan anak-anak mereka bermain gajet terutama pada waktu makan bagi memudahkan urusan mereka.
“Ini budaya tidak sihat, sekali gus memberi contoh tidak baik kepada anak apabila mereka leka bermain gajet.
“Ibu bapa sepatutnya meluangkan masa bersama mereka atau memberikan bahan bacaan yang berkualiti bukannya membenarkan mereka bermain gajet saja,” katanya.