Galak syarikat O&G kongsi kepakaran – Adly

Galak syarikat O&G kongsi kepakaran – Adly

AYER KEROH 12 Mac – Kerajaan negeri menggalakkan kolaborasi syarikat-syarikat sektor minyak dan gas (O&G) berkongsi kepakaran di negeri ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, usaha itu memberi peluang untuk menerokai sektor O&G, sekali gus memberi pulangan kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, sektor O&G juga merupakan peluang pelaburan yang baharu melibatkan industri penapisan, keselamatan serta pembekalan.

“Kita tahu sektor ini cukup luas, dengan adanya Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) Energy Sdn. Bhd. dan kepakaran syarikat lain, sudah pasti sektor ini dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Syarikat PKNM Energy Sdn. Bhd., Dayang Enterprise Sdn. Bhd. dan Main Velocity Sdn. Bhd. serta Pelancaran Rasmi Logo PKNM Energy Sdn. Bhd..

Jelasnya, dengan terlaksana MoU tersebut ia mewujudkan satu kerjasama bagi membantu kerajaan negeri khususnya melibatkan sektor O&G.

“MoU ini juga mampu merencana peluang-peluang pelaburan selain menyediakan peluang pekerjaan khusunya kepada anak Melaka.

“Kita punyai beberapa industri melibatkan sektor tersebut di negeri ini, namun tiada pihak yang ketengahkannya,” katanya.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan; Ketua Pegawai Eksekutif PKNM, Ir. Ridhuan Affandi Abu Bakar; Pengarah Urusan Dayang Enterprise Sdn. Bhd., Tengku Datuk Yusof Tengku Ahmad Shahruddin dan Pengarah Main Velocity Sdn. Bhd., Syarifah Fatin Amirah Syed Abdul Rahman.

CATEGORIES