‘Galaxy World’ dijangka siap menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020

‘Galaxy World’ dijangka siap menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020

BANDARAYA MELAKA 28 Jan – Bangunan Planetarium bakal berwajah baharu apabila akan ditukarkan konsep kepada ‘Galaxy World’ dan dijangka siap menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, bangunan tersebut tidak akan dirobohkan, sebaliknya akan diperbaiki terutama dibahagian utama bangunan tersebut.

Jelasnya kerja-kerja baik pulih dan penambahbaikan projek baharu dijangka akan bermula Februari depan memandangkan telah mendapat kelulusan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).

Katanya projek itu akan dibangunkan oleh syarikat swasta dan apabila termeterai perjanjian, baru ia akan diberitahu di peringkat umum.

“Ia dalam peringkat akhir sebelum kerja-kerja pembinaan dapat dijalankan yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM200 juta hingga RM250 juta yang perlu disiapkan pada tahun ini.

“Bangunan yang ada tidak akan dirobohkan tetapi akan diperbaiki dan UPEN telah pun meluluskan pembangunan itu dan sekarang di peringkat muktahir, malah kita akan tukarkan konsep kepada ‘Galaxy World’ dengan mengekalkan status sains yang sedia ada.

“Galaxy World ini juga bakal berperanan sebagai ‘one stop centre’ kepada pelancong untuk mendapat informasi tempat pelancongan dan kupon sebelum mereka melawat-melawat tempat pelancongan di negeri ini,” katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.

CATEGORIES
TAGS