Gembira terima BAP
Manfaatkan sebaiknya wang BAP

SUNGAI RAMBAI 14 Feb. – Kegembiraan jelas terpancar pada wajah 530 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai, di sini, selepas menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2020, baru-baru ini.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Rambai, Azalina Abdul Rahman berkata, kesemua yang layak menerima BAP itu terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima sekolah berkenaan.
“BAP adalah bantuan daripada Kerajaan Persekutuan bernilai RM100 seorang sebagai inisiatif dalam meringankan beban perbelanjaan persekolahan ditanggung ibu bapa.
“Suka saya ingatkan agar ibu bapa dapat mengambil peluang turut serta dalam program sekolah, selain memberi sumbangan idea, material atau khidmat bakti bagi melengkapi antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian BAP di SMK Sungai Rambai, di sini.
Dalam ucapannya, Azalina turut menasihatkan pelajar supaya jangan mensia-siakan peluang yang ada dan manfaatkan sebaik mungkin kerana mereka adalah tonggak harapan negara pada masa akan datang.