Generasi Muda Jiwai Hari Malaysia

Generasi Muda Jiwai Hari Malaysia

KEMPEN membunyikan hon kenderaan jika anda sayangkan negara yang berlangsung di Bandar Hilir, sebentar tadi

BANDAR HILIR 16 Sept- Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun tidak kurang pentingnya dengan sambutan Hari Kemerdekaan yang perlu dijiwai oleh seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan ideologi politik.

Di Melaka kira-kira lebih 50 belia di bawah badan bukan kerajaan Ikatan Generasi Muda Melaka (IGMM) memeriahkan sambutan Hari Malaysia di Bandar Hilir dengan mengenakan busana tradisional mewakili pelbagai kaum di negara ini.

Menurut Pengerusi IGMM, Mohd Fikri Mohd Ali berkata program yang dijalankan bertujuan memberi pendedahan kepada pelancong dari dalam dan luar negeri mengenai Hari Malaysia.

“Ada juga pelancong yang masih keliru dengan sambutan Hari Malaysia ini memandangkan kita baru sahaja meraikan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu. Tapi, perkara itu dapat diterangkan melalui risalah ringkas yang kami edarkan,” katanya.

Peserta, Wan Ezra Nurain Megat Wari, 24 tahun berkata, acara yang pertama kali disertainya memberikannya peluang berinteraksi dengan pelancong yang berada di kawasan air pancut, Victoria.

” Rasa bertuah badan menjadi warga negara apabila menerima ucapan tahniah atas sambutan ini daripada mereka yang ditemui di sini,” katanya yang memperagakan pakaian Orang Hulu, Sarawak.

Acara satu jam itu yang mendapat sokongan Tourism Melaka itu turut disertai kumpulan penari tempatan yang mempersembahkan tarian tradisional berhampiran menara jam di situ.

 

CATEGORIES
TAGS