Geng Arab, Geng Sugu kena cekup

Geng Arab, Geng Sugu kena cekup

BANDAR HILIR 5 Mac – Dua geng penjenayah dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah dan kilang dikenali sebagai Geng Arab Batu Hampar dan Geng Sugu Batu Berendam berjaya ditumpaskan Polis Daerah Melaka Tengah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ahli kumpulan terbabit yang bergiat aktif sejak awal tahun lalu itu dicekup hasil penubuhan pasukan khas di bawah Jabatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, iaitu Strike Team House Breaking and Theft (HBT) awal tahun ini.

Menurutnya, hasil soal siasat dan risikan dilakukan dua bulan lalu, polis berjaya menahan ahli kumpulan terbabit di sekitar negeri ini.

“Enam lelaki merupakan ahli Geng Arab berusia 26 hingga 36 tahun termasuk ketuanya dikenali sebagai Arab, 26, ditahan pada 15 Febuari lalu kira-kira jam 11 malam disusuli tangkapan lima lagi ahli kumpulan terbabit.

“Hasil tangkapan polis turut merampas tiga motosikal, sebuah Perodua Kancil, tiga televisyen, dua Ipad, enam komputer riba, tujuh jam tangan, dua beg tangan dan satu peti besi yang dianggarkan bernilai RM80,000,” katanya dalam sidang media di IPD Melaka Tengah di sini, tadi.

Afzanizar berkata, kumpulan terlibat menyasarkan rumah tidak berpenghuni pada waktu malam membabitkan kawasan Bandar Melaka, Bukit Baru, Bandar Hilir dan Batu Berendam.

“Mereka juga didapati bergiat aktif dengan kegiatan mencuri motosikal dan tangkapan tersebut bagaimanapun berjaya menyelesaikan tujuh kes mengikut Seksyen 456,379 A dan 411 Kanun Keseksaan,” katanya lima dari enam ahli kumpulan ditahan positif dadah jenis methamphetamine.

Sementara itu, polis turut memberkas tiga lelaki berusia 39, 42 dan 46 tahun yang merupakan ahli Geng Sugu Batu Berendam dipercayai terlibat dalam kes pecah kilang sejak awal tahun lalu di sini.

“Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki yang sedang melakukan cubaan pecah kilang pada 19 Febuari lalu kira-kira jam 1 pagi.

“Hasil tangkapan tersebut membawa kepada penahanan dua lagi ahli termasuk ketua kumpulan tersebut bernama Sugu pada 22 Febuari lalu, kira-kira jam 7 malam di Durian Tunggal,” katanya kesemua mereka positif dadah.

Jelas Afzanizar, hasil tangkapan Geng Sugu, polis merampas sebuah Perodua Kembara dan sebuah motosikal Yamaha RXZ yang bernilai kira-kira RM15,000.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

 

CATEGORIES