Guru maut, motosikal bertembung lori
Semoga rohnya ditempatkan bersama orang beriman

ALOR GAJAH 18 Feb. – Seorang guru lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah lori, dalam kejadian di Jalan Lesung Batu, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira- kira jam 7.40 pagi itu, mangsa Fadzlul Hadi Osman, 31, yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Tebong maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan untuk menghadiri Sukan Tahunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan.
Beliau berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave dalam perjalanan dari arah Machap menghala ke Alor Gajah manakala lori pasir dari arah bertentangan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku di kawasan berselekoh.
“Sebaik tiba di lokasi motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan dan berlanggar dengan lori yang kebetulan melalui lokasi kejadian,” katanya.
Arshad berkata, akibat perlanggaran itu mangsa disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat selain kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.