Guru perlu motivasi murid ke sekolah

TANJUNG MINYAK 18 Feb. – Budaya memberi kata semangat kepada murid perlu diterapkan bagi memotivasikan golongan itu untuk menuntut ilmu di sekolah.
Penyelia Pendidikan Islam Pejabat Pendidikan Daerah Melaka Tengah, Abdul Aziz Ishak berkata, ia perlu dimulakan tenaga pengajar khususnya dalam sistem pembelajaran.
Menurutnya, usaha itu sekali gus mendorong guru menjadi lebih berintegriti selain menyayangi anak-anak murid mereka.
“Jika tiada kerjasama daripada pihak PIBG, komuniti setempat dan guru, mustahil sesebuah sekolah itu mampu memperolehi kejayaan.
“Peranan semua pihak amat penting dalam melancarkan aktiviti di sekolah, malah kerjasama pihak sekolah juga penting dalam melaksanakannya,” katanya.
Abdul Aziz berkata demikian pada Program Guru Penyayang, Salam Hormat dan Jom Sekolah di Sekolah Kebangsaan Tanjung Minyak 2 (SKTM2), baru-baru ini.
Hadir sama, Guru Besar SKTM2, Ehsanudin Abd Jalil; Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Syed Husain Syed Ismail dan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Asniah Mohd Yusuf.