Harap MU lebih ‘garang’ di Stadium Hang Jebat

Harap MU lebih ‘garang’ di Stadium Hang Jebat

KETUA Jurulatih Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan berharap anak buahnya dapat menampilkan aksi yang lebih meyakinkan tatkala menjamu kehadiran PDRM FA di Stadium Hang Jebat, Jumaat ini.

Meski pun berjaya mengutip tiga mata dalam aksi pembukaan Liga Super menentang UiTM FC minggu lalu, namun Zainal menganggap anak buahnya masih belum menunjukkan taring sebenar dalam usaha mengejar sasaran berada di kelompok teratas liga.

“Saya tahu aksi menentang UiTM FC sebelum ini bukan permainan sebenar pemain seperti yang ditunjukkan pada pra-musim.

“Kita boleh nampak pemain agak tertekan di perlawanan pertama ini tapi saya dah beritahu pemain yang penting adalah untuk mendapat ‘confident level’ yang lebih tinggi iaitu mendapat tiga mata di sini.

“Tapi saya tahu selepas ini (aksi menentang PDRM FA) mereka akan menunjukkan prestasi yang sebenar memandangkan kita akan bermain di tempat sendiri dan dengan ‘confident level’ yang telah dibentuk, itu yang kita nak lihat permainan sebenar mereka,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kemenangan pertama tempoh hari, Zainal mengakui gembira kerana anak buahnya telah menjalankan tugas bersungguh-sungguh dan tidak memandang rendah keupayaan UiTM FC selaku pendatang baharu Liga Super.

Katanya, walaupun ramai menganggap UiTM FC akan menjadi lawan yang mudah buat MU, namun daripada perlawanan di Stadium UiTM Shah Alam tempoh hari, jelas anak buah Frank Bernhardt telah memberikan saingan cukup hebat terutama di minit akhir perlawanan.

“Saya sudah jangka, UiTM FC akan bermain bersungguh-sungguh untuk mengutip mata dalam perlawanan pertama yang dianggap penting. Namun, saya gembira pemain mendengar apa yang saya katakan sebelum perlawanan dan telah memberikan yang terbaik.

“Alhamdulillah tiga mata berharga ini amat penting untuk memulakan musim 2020 dan kita berharap rentak positif ini akan berterusan,” katanya.

CATEGORIES