Harap perlumbaan F1 kembali ke Malaysia- Tun M

KUALA LUMPUR 13 Feb.- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Malaysia akan melahirkan lebih ramai jaguh dalam arena sukan permotoran, bukan sahaja sebagai pelumba atau pemandu, tetapi juga sebagai jurutera.
“Malaysia kini bukan hanya melihat kepada perlumbaan sahaja, tetapi juga bidang kejuruteraan. Wang yang dibelanjakan untuk membina litar (Litar Antarabangsa Sepang) telah digunakan sebaiknya.
“Saya berharap perlumbaan F1 akan kembali ke Malaysia suatu hari nanti,” kata Dr Mahathir dalam ucapan ringkas selepas menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Sukan Permotoran Petronas SIC – Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) di Kuala Lumpur,2018 malam tadi.
Beliau yang juga penerima pertama anugerah tersebut berkata, bahawa idea membina Litar Antarabangsa Sepang telah membuka jalan bagi pembangunan bakat tempatan dan pemindahan teknologi dalam sukan permotoran.
Jelasnya, beliau mendapat idea untuk membina sebuah litar perlumbaan antarabangsa ketika melawat sebuah Litar perlumbaan Autodromo di Portugal dan tidak pernah terfikir yang Malaysia akan mempunyai sebuah litar perlumbaannya sendiri.
“Saya dapat melihat penerimaannya amat baik, bukan sahaja untuk menonton perlumbaan F1, tetapi juga untuk menyertai perlumbaan itu sendiri,” katanya.
-BERNAMA