Harwanis santuni anak yatim & asnaf

Harwanis santuni anak yatim & asnaf

AYER KEROH 13 Jun – Badan Kebajikan Amal Isteri Wakil-wakil Rakyat Pakatan Harapan Melaka (Harwanis) menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 150 anak yatim dan golongan asnaf dari seluruh negeri ini.
Penyampaian sumbangan tersebut diadakan dengan kerjasama Syarikat Mamee Double Decker (M) Berhad (Mamee).

Ketua Menteri, Adly Zahari yang merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Kepada Anak Yatim dan Golongan Asnaf itu berkata, bantuan berupa duit raya RM100 seorang dan produk makanan itu diharap dapat meringankan beban keluarga masing-masing menjelang Aidilfitri ini.

“Sekecil mana sumbangan yang dihulurkan, ia cukup bermakna kepada si penerima yang hidup serba kekurangan, malah ‘buah tangan’ yang tidak seberapa itu mampu menerbitkan senyuman, walau cuma untuk seketika.

“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat memberi sinar dan kegembiraan kepada para penerima dalam membuat persiapan dan meraikan Aidilfitri nanti,” katanya dalam program tersebut di kilang Mamee, dekat sini.

Hadir sama, Pengerusi Harwanis, Dalilah Awaluddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Damian Yeo Shen Li; Ketua Pegawai Eksekutif Mamee Double Decker (M) Berhad, Tan Sri Pang Tee Chee dan Pengarah Urusan Double Decker (M) Berhad, Datuk Gary Choo Kok Sen.

Adly berkata, kerajaan negeri juga menggalakkan syarikat-syarikat swasta menyampaikan sumbangan mahupun bantuan kepada golongan memerlukan tanpa mengira masa.

CATEGORIES