HBR, Aplikasi Respon Rakyat 2.0 perhalusi aduan secara terus

Pendekatan terbaik daripada kerajaan negeri

HBR, Aplikasi Respon Rakyat 2.0 perhalusi aduan secara terus

AYER KEROH 3 Feb. – Kerajaan negeri yakin pelaksanaan program Hari Bertemu Rakyat (HBR) yang diteruskan pada tahun ini mampu menyelesaikan permasalahan rakyat secara terus antara pentadbir dan rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pihaknya komited bagi melaksanakan program berkenaan bagi mendengar permasalahan rakyat secara terus yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

“Pada tahun ini HBR akan diadakan pada setiap Khamis di Seri Bendahara di mana kerajaan negeri yakin HBR telah banyak selesaikan masalah rakyat.

“Mengikut data yang direkodkan berhubung permasalahan yang diterima pada HBR tahun lalu kerajaan negeri telah menerima sebanyak 4,140 aduan berhubung permasalahan rakyat.

“Dari angka tersebut, kerajaan negeri menyelesaikan 3,377 aduan dengan kadar sebanyak 82 peratus aduan telah diselesaikan kerajaan pada tahun lalu.

“Malah, selebihnya sebanyak 18 peratus aduan yang diterima tahun lalu masih dalam proses penyelesaian yang diuruskan beberapa agensi terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menerusi siaran langsung di platform Facebook pada program Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Adly turut menyarankan rakyat negeri ini menggunakan platform aplikasi yang disediakan kerajaan negeri jika terdapat aduan ingin disampaikan.

Jelasnya, pelancaran aplikasi Respon Rakyat 2.0 pada tahun lalu banyak memberi manfaat kepada rakyat negeri ini bagi menyampaikan sebarang bentuk aduan kepada pihak kerajaan.

“Aplikasi ini sangat berguna kepada rakyat malah saya menyarankan agar lebih ramai rakyat menggunakan platform ini bagi berinteraksi secara terus kepada pentadbiran kerajaan Melaka.

“Sejak aplikasi itu dilancarkan, pihak kami menerima 401 aduan dan sebanyak 57.1 peratus aduan diselesaikan manakala selebihnya kira-kira 40 peratus masih dalam proses penyelesaian,” katanya.

CATEGORIES
TAGS