Hidup semula kempen Gerobok Kebajikan di masjid, surau

MASJID TANAH 13 Feb. – Semua masjid dan surau di Parlimen Masjid Tanah disaran menghidupkan semula kempen Gerobok Kebajikan bagi memberi manfaat kepada golongan memerlukan.
Ahli Parlimennya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsuddin berkata, Gerobok Kebajikan mampu dijadikan platform untuk individu membuat amal dengan mewakafkan barang keperluan untuk golongan memerlukan.
Jelasnya, kempen yang sudah dijalankan sejak dua tahun lalu itu tidak mendapat sokongan penduduk sedangkan ia begitu memberi manfaat kepada yang memerlukan.
“Di sini, ia dilihat gagal sedangkan beberapa tempat seperti di Kuala Lumpur berjaya melaksanakannya.
“Walaupun ada yang menginfakkan sumbangan yang dilihat kecil nilainya, namun ia begitu bermakna buat mereka (golongan memerlukan),” katanya selepas merasmikan Program Guru Penyayang dan Salam Hormat ‘Malaysian Way Of Greetings’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, kempen Gerobok Kebajikan diharap dapat diteruskan oleh 41 masjid dan 176 surau di kawasan Masjid Tanah agar dapat membantu kelangsungan hidup fakir miskin.
oleh: Faiz Hasan