Hina Nabi Muhammad: Pemuda Amanah buat laporan polis

Hina Nabi Muhammad: Pemuda Amanah buat laporan polis

JASIN 19 Feb. – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka tampil membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook (FB) Foo Sing Wai, berikutan tindakannya menghina Nabi Muhammad saw dan isteri, Saidatina Aishah di laman sosial tersebut.

Ketua Pemuda Amanah Jasin, Mohd Zulkhairi bin Abd Aziz berkata, laporan polis itu dibuat susulan penularan status yang dimuat naik disertakan bersama karikatur yang digambarkan sebagai Nabi Muhammad saw dan Aishah r.a. dalam keadaan mengaibkan.

Menurutnya, perkongsian tersebut mengundang kecaman dan reaksi pelbagai pihak lebih-lebih lagi mereka yang beragama Islam.

“Tindakan pemilik akaun FB “Foo Sing Wai” sesuatu yang tidak bermoral itu. Perkara ini tidak sepatutnya dibuat kerana ia akan menggugat keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang hidup berbilang bangsa dan agama.

“Penghinaan terhadap baginda Rasululllah s.a.w. ini sangat besar kesannya lebih-lebih lagi kepada kami yang beragama Islam. Kami juga berdoa kepada pelaku yang melakukan perkara ini supaya beliau diberikan hidayah dan dikurniakan cahaya iman ke dalam hatinya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Semalam, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jasin pada jam 4 petang oleh Mohd Zulkhairi.

Jelas beliau, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan sewajarnya.

“Jika nyata ia ialah akaun palsu, kami meminta kerjasama SKMM untuk bertindak mengesan dan mengambil tindakan ke atas sang pelaku ini.

“Bersamalah kita menjaga dan menghormati antara satu sama lain, supaya kita dapat hidup dalam suasana yang harmoni tanpa prejudis. Semoga mereka yang bersalah ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

CATEGORIES