HOC 2019: REHDA sasar nilai jualan cecah RM1.25 bilion

MALIM JAYA 8 Mac – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menjangkakan nilai jualan sehingga RM1.25 bilion mampu dikutip menerusi penjualan 3,023 unit kediaman di negeri ini melalui Kempen Pemilikan Rumah 2019 (HOC 2019).
Pengerusi REHDA Cawangan Melaka, Datuk Seri Ngoh King Hua berkata, menerusi HOC 2019, beliau turut menjangkakan sebanyak 1,827 unit perumahan kuota Melayu yang belum terjual di negeri ini, melibatkan RM775.3 juta terjual.
Katanya, bagi menepati sasaran, beberapa inisiatif akan dilaksanakan antaranya pengecualian kadar duti setem melibatkan pemilikan rumah dibawah RM1 juta.
“HOC 2019 merupakan inisiatif yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerusi Bajet 2019, di mana pemilik rumah akan dikecualikan dari duti setem bagi pemilikan unit bermula 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini.
“Pemaju juga akan menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus, bagaimanapun ia tertakluk kepada syarat kawalan harga rumah oleh kerajaan (kerajaan pusat dan kerajaan negeri),” katanya ketika ditemui pada sidang media HOC 2019 di pejabat REDHA, di sini, hari ini.
Hadir sama, Penganjur HOC 2019, Choon Kean Nang.
HOC 2019 akan bermula selama enam hari bermula 19 hingga 24 Mac di pusat membeli-belah AEON Bandaraya dan dijangka dirasmikan Ketua Menteri, Adly Zahari.