Hormati bahasa Melayu, ia wujud dalam Perkara 152

Hormati bahasa Melayu, ia wujud dalam Perkara 152

BANDARAYA MELAKA 27 Sept. – “Ini kebiadaban yang perlu dihapuskan. Jika kebiadaban ini tidak dihentikan oleh kerajaan nescaya akan ada tangan bukan kerajaan mengambil alih peranan tersebut.

“Penggunaan bahasa vernakular oleh seorang Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak boleh didiamkan kerana jelas bertentangan dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan,” selar Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA), Dr. Saleeh Rahamad.

Beliau menyelar tindakan Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Chan Wei Khjan kerana didakwa tidak menggunakan bahasa kebangsaan dalam surat rasminya dan tindakan itu boleh dianggap keterlaluan dan perlu dihapuskan.

Terdahulu, surat jemputan majlis perbincangan mengenai infastruktur jalan raya bertarikh 12 September lalu itu tular di media sosial sejak beberapa hari lalu yang memaparkan sekeping surat menggunakan tulisan Cina bersama bahasa Inggeris, cepat menarik perhatian aktivis seni budaya.

Untuk rekod, isu surat gunakan tulisan Cina bukanlah kali pertama menjadi bahan kecaman terhadap kerajaan.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjadi sasaran kutukan dalam kalangan ahli politik dan aktivis bahasa Melayu kerana didakwa mengetepikan bahasa kebangsaan semasa membuat kenyataan.

Bagaimanapun, surat itu bukanlah makluman tunggal dikeluarkan Guan Eng, sebaliknya turut disertakan dengan versi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Menurut Menteri Kewangan itu juga kenyataan bahasa Melayu kadang-kadang diterjemah ke bahasa lain mengikut keperluan semasa.

Tegas Saleeh, perubahan kerajaan dari Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) diharap tidak menjadikan dasar bahasa kebangsaan juga bertukar.

“Benar, tindakan ini secara terpencil tidak akan menjahanamkan negara bangsa, tetapi dari sudut bacaan berlapis (semiotik pun boleh).

“Ia suatu simbolik mempamerkan keangkuhan dan akan menjadi virus yang mewabak dalam pemikiran massa.

“Semua urusan surat-menyurat dengan jabatan-jabatan kerajaan mesti dalam bahasa Melayu, jika tidak jangan dilayan,” tegasnya.

CATEGORIES