HPAK rai kakitangan harumkan nama syarikat

HPAK rai kakitangan harumkan nama syarikat

AYER KEROH 26 Sept. – Pekerja cemerlang adalah penentu kejayaan sesebuah syarikat, lantaran itu pelbagai cara dilakukan pihak majikan bagi menghargai sumbangan kakitangan yang menunjukkan khidmat cemerlang hingga mengharumkan nama syarikat berkenaan.

Ada yang sanggup memberi cenderahati dan tidak kurang juga menawarkan tiket melancong serta pelbagai lagi ganjaran istimewa sebagai menghargai sumbangan mereka yang menjadi tulang belakang syarikat terbabit.

Begitulah yang dilakukan oleh Hospital Pantai Ayer Keroh (HPAK) apabila meraikan kira-kira 610 kakitangan hospital dalam majlis makan malam tahunan di sebuah hotel di bandar raya ini, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Yew Aik berkata, majlis itu menepati hasrat pihaknya untuk meraikan kakitangan yang menyumbangkan keringat mereka demi kemajuan syarikat.

“Majlis makan malam ini bagi menghargai sumbangan dan peranan dimainkan oleh semua pekerja tidak kira bahagian perubatan seperti jururawat dan doktor serta kakitangan sokongan.

“Malah, kakitangan yang diraikan pada majlis ini merupakan sebahagian dari keseluruhan kira-kira 720 kakitangan yang berkhidmat terdiri kakitangan pentadbiran, perubatan dan pakar perubatan.

“Selain itu, pihak hospital turut meraikan 54 kakitangan kami yang berkhidmat selama 10, 20 dan 30 tahun di hospital tersebut,” katanya.

Dari jumlah itu, 36 kakitangan menerima penghargaan atas perkhidmatan selama 10 tahun, 17 orang berkhidmat selama 20 tahun dan seorang pekerja berkhidmat paling lama iaitu 30 tahun.

CATEGORIES