Ibu bapa berperanan bentuk masa depan anak

MALIM 16 Mac – Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memastikan anak-anak mereka mendapat ilmu pendidikan yang sempurna demi masa depan yang lebih terjamin.
Ketua Pegawai Eksekutif Jobstar Trading Sdn. Bhd, Datuk Tee Yam berkata, ibu bapa juga tidak boleh menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak seratus peratus kepada pihak sekolah semata-mata.
“Tidak wajar sekiranya berterusan menuding jari menyalahkan guru-guru di sekolah jika anak-anak kita tidak berjaya dalam pelajaran.
“Sehubungan itu, ibu bapa seharusnya memberikan kerjasama kepada pihak sekolah demi kebaikan anak-anak,” katanya.
Tee Yam berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim di Dewan Al-Khawarizmi di sekolah terbabit, kelmarin.
Hadir sama, Pengerusi PIBGnya, Datuk Mokhtar Haron; dan Pengetua SMK Malim, Rosidah Harun.
Tee Yam yang juga Pengarah Urusan Jobstar Trading Sdn. Bhd memberitahu, potensi anak-anak seharusnya dikembang dan dimantapkan agar mereka dapat memainkan peranan sebagai pelajar dengan lebih efektif, inovatif dan kreatif.
“Gambaran pelajar sebagaimana yang dinyatakan dapat membuktikan bahawa program-program yang dianjurkan PIBG perlu direncanakan secara terancang, teratur dan dinilai secara berkesinambungan bagi menjalin hubungan yang baik dan berterusan antara pihsk sekolah dan ibu bapa.
“Oleh itu, saya berharap, SMK Malim akan dapat melahirkan insan-insan berguna yang boleh dibanggakan pada masa akan datang,” jelasnya.
Sempena majlis tersebut, Mokhtar turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.