‘Ibu minta maaf nak…’

‘Ibu minta maaf nak…’

Oleh NORAFIQAH JAMAL

BUKIT RAMBAI 5 Okt- Penantian berakhir apabila ibu kandung Muhammad Adam Mikail Abdullah, 8, yang menghilangkan diri sejak lapan tahun lalu telah pulang ke pangkuan keluarganya, semalam.

Nurhidayah Ahmad, 30 tahun, yang selama ini menetap di Terengganu pulang ke pangkuan keluarga selepas menyedari kisah anaknya, Muhammad Adam Mikail terpapar di media sosial.

“Saya dapat tahu keluarga saya mencari saya di media sosial dan televisyen, saya terus pulang ke Melaka untuk berjumpa dengan dua anak saya yang lama saya tinggalkan.

” Saya minta maaf dan berterima kasih kepada ayah dan arwah emak yang selama ni menjaga anak-anak saya selama ketiadaan saya.

“Saya sedar salah silap diri, harap saya dapat tebus kesalahan yang bertahun tahun kerana terlalu mengikut perasaan memberontak sampaikan mak meninggal pun saya tak tahu,” katanya menahan sebak ketika ditemui di rumah bapa angkatnya di Bukit Rambai pagi tadi.

Bagi Mohammad Noh Jantan, 59 tahun yang juga bapa angkat kepada Nurhidayah, dia merasa bersyukur apabila usaha untuk memanggil anaknya pulang telah berhasil.

“Syukur tidak terhingga apabila Nurhidaya akhirnya pulang untuk menjaga anak-anaknya yang lama ditinggalkan.

“Adam dan Mukhriz sering meluahkan rasa rindu terhadap ibunya, dan kini akhirnya kerinduan tu terbalas juga, saya harap lepas ni Nurhidayah tak lari lagi,” katanya.

Terdahulu, penderitaan Adam dikatakan berpunca daripada didera kekasih ibunya pada Julai 2012, menyebabkan usus kanak-kanak itu pecah sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, Hospital Tengku Ampuan Afzan, (HTAA), Kuantan, Pahang.

Adam kini hanya mampu bersuara tanpa dapat menggerakkan anggota badan dengan sempurna.

Bertambah perit apabila keluarga itu tidak mempunyai pendapatan tetap terutama apabila isteri Mohammad Nor meninggal dunia tahun lalu menjadikan beliau tidak dapat melakukan kerja lain kerana perlu menjaga Adam.

CATEGORIES
TAGS