IKHLAS minta kerajaan campur tangan isu peniaga Dataran Pahlawan

InsyaAllah kerajaan negeri sedia membantu...

IKHLAS minta kerajaan campur tangan isu peniaga Dataran Pahlawan

BANDA HILIR 6 Feb. – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) menggesa kerajaan negeri tampil bagi menyelesaikan nasib peniaga di Lot Bawah Tanah Dataran Pahlawan.

Presidennya, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, dilema yang dihadapi sejak 13 tahun dahulu tidak diselesaikan membuatkan permasalahan itu terus menjadi tekanan kepada 30 peniaga di kawasan itu.

Menurutnya, hampir puluhan aduan diajukan kepada beberapa pihak termasuk agensi kerajaan negeri pada ketika itu namun tidak menemukan jalan penyelesaian.

“Sejak dahulu peniaga di kawasan ini terpaksa berdepan dengan masalah ini dan saya harap akan ada pihak kerajaan tampil bag mendengar keluhan dan menyelesaikan isu ini.

“Jika kerajaan dahulu tidak mampu membantu mereka kerajaan negeri hari ini harus tampil kerana jika benar ia memperdagangkan air dan gas, ini adalah tindakan yang salah oleh pengurusan.

“Dengan keadaan ekonomi sekarang tidak mengizinkan adalah salah satu masalah peniaga ini dan ditambah pula kos tanggungan bulanan menjadikan perkara ini tidak relevan.

“Malah, keadaan yang begitu kompetitif kerana ditambah dengan gerai-gerai dan trak makanan menjadikan saingan di sini begitu tinggi buat peniaga kecil di kawasan ini.

“Kita tidak mahu ada pihak mengambil keuntungan atas angin dan terus menghimpit peniaga-peniaga di sini dan apabila diajukan aduan kepada pengurusan mereka seolah-oleh tidak mempedulikan perkara ini,” katanya ketika ditemui pemberita dihadapan gerai peniaga terbabit, semalam.

Pada masa sama, beliau berharap masalah itu akan diselesaikan sewajarnya bagi memberi keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang mentadbir hari ini.

“Saya harap kerajaan masuk campur dalam hal ini kerana jika ia berpanjangan perkara ini tidak akan diselesaikan.

“Kita mahu mereka hentikan pembayaran yang tidak masuk akal ini dan mengapa perlu menindas golongan ini sedangkan kita bersama mencari rezeki.

“Saya agak terkilan kerana mereka dilayan seperti ini dan jika peniaga lambat melakukan pembayaran tindakan denda dan surat peguam akan dihantar kepada peniaga bagi menjelaskan pembayaran bil tertunggak.

“Ini tidak masuk akal malah jika kita terlambat membayar air kepada SAMB pun agensi itu tidak pernah menyuruh rakyat membayar denda mahupun surat layang dari peguam dihantar kepada pengguna,” keluhnya.

Menerusi laporan MelakaKini, dilema 13 tahun itu berlarutan sehingga hari ini dengan masalah penyelenggaraan bulanan berganda sedangkan gerai yang disewa hanya berukuran 8×8 kaki.

Masalah itu terus membelenggu peniaga apabila dikenakan bayaran bil air ratusan ringgit tidak termasuk caj gas petroleum cecair (LPG) yang disambungkan dari bangunan itu bernilai ribuan ringgit sebulan.

Rata-rata peniaga di kawasan itu terpaksa membayar kadar bulanan melebihi RM4,000 sebulan menjadikan perkara itu dilihat serius dan wajar diatasi disebabkan faktor sambutan pelanggan yang semakin berkurang.

CATEGORIES