Ikut jejak ayah & abang kayuh beca

Ikut jejak ayah & abang kayuh beca

MENGIKUT jejak ayah dan abangnya sebagai pengayuh beca, anak muda dari Bukit Cina ini yakin ia satu pengalaman berharga dalam kehidupannya.

Meskipun pelbagai kerjaya lain boleh dilakukan dalam usianya yang masih muda, namun Muhammad Salman Hakim Munawir, 18 tetap menjadikan kerjaya tersebut sebagai sesuatu yang membanggakan.

Tidak pernah berasa malu bergelar pengayuh beca, Muhammad Salman berkata, rasa cintanya terhadap beca bermula sejak bersekolah di Tingkatan Tiga lagi.

Menurutnya, apabila melihat ayahnya menjalankan pekerjaan itu secara sambilan, dia turut tertarik.

“Bila saya tengok abang pun ikut ayah kayuh beca, saya fikir kenapa saya tak boleh buat macam mereka.

“Lagipun, hari Sabtu dan Ahad tak sekolah, lebih baik saya cari duit sampingan,” katanya ketika ditemui MelakaKini.

Ujarnya yang mesra disapa Salman, minatnya disokong dengan niat untuk mencari duit sendiri tanpa menharapkan bantuan kedua orang tuanya.

“Saya buat kerja ni antaranya sebab tak nak susahkan ayah dan emak. Lepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya terus buat secara sepenuh masa.

“Memang saya gembira sebab tak perlu lagi nak harapkan ayah dan emak sebab dah ada duit poket sendiri,” katanya.

Tidak hanya itu, dia percaya wang dimiliki hasil titik peluh sendiri merupakan sesuatu yang sangat bermakna kepadanya.

“Kayuh beca ni bukan kerja senang, sebab tu bila dapat hasilnya, saya sangat puas hati,” katanya.

Berkongsi cabaran terpaksa ditempuhi, katanya, sudah tentu persaingan menjadi cabaran terbesar bagi pengayuh beca di sini.

“Sekurang-kurangnya ada 300 pengayuh beca di sekitar kawasan Banda Hilir ni. Kalau hari-hari biasa memang susah nak dapat pelanggan ramai dalam tepoh masa tertentu.

“Tapi, saya tak pernah patah semangat sebaliknya ambil itu sebagai ujian hidup dan percaya pada rezeki.

“Pernah juga dalam masa sehari, saya cuma dapat RM15 saja. Bagaimanapun, bila tiba hari Sabtu dan Ahad, pendapatan saya boleh boleh mencecah ke RM200 sehari,” katanya.

MODAL BESAR

Menjadi pengayuh beca juga memerlukan modal yang besar memandangkan beca tersebut perlu dibeli sendiri.

Jelas Salman, di awal pembabitannya dia terpaksa membelanjakan sejumlah RM5,000 untuk memiliki sebuah beca.

“Kalau RM5,000 ni kita dah boleh dapat beca yang berkualiti. Besi yang digunakan untuk membuat beca adalah lebih baik dan tahan.

“Malah, kita juga boleh memilih rekaan dan hiasan yang dimahukan,” katanya memilih tema kartun Doraemon sebagai hiasan becanya.

Walaupun komited terhadap kerjayanya sebagai pengayuh beca, Salman tidak pernah melupakan impian untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya sedang menunggu panggilan dari Giat Mara untuk menyambung pelajaran dalam bidang automotif.

“Tapi, saya tidak akan sesekali melupakan kerjaya sebagai pengayuh beca ni. Saya mula pegang duit sendiri dengan hasil pendapatan sebagai pengayuh beca.

“Jadi, kalau ada masa lapang dan cuti hujung minggu, saya tetap akan teruskan kerja ni. Bagi saya, pengalaman yang ada telah mematangkan saya,” katanya.

Ditanya apakah harapannya untuk memastikan pengayuh beca terus dibela, katanya, selagi mereka terus diberikan kebenaran untuk menjalankan kerja itu, ia sudah cukup baik.

“Beca ini satu warisan dan pengayuh beca haruslah diberi peluang untuk terus mempertahankan kerja ini.

“Lagipun beca sudah jadi ‘trademark’ kepada orang luar yang berkunjung ke negeri ini. Rasanya, sangat baik jika beca Melaka terus diberikan promosi supaya dapat menarik lebih ramai pelancong ke sini untuk mencuba sendiri pengalaman menaiki beca,” katanya.

CATEGORIES