Industri buku berdepan cabaran baharu – Adly

Industri buku berdepan cabaran baharu – Adly

MOHAMED Aizammuddy menyampaikan cenderamata kepada Adly.

BACHANG 1 Okt. – Usaha penerbitan buku tempatan mesti mengambil kira cabaran serta kehendak pembaca bersesuaian dengan kehadiran produk baharu di pasaran seperti e-book dan i-book yang kini digemari khususnya golongan muda.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, produk tersebut bukan sahaja mudah diakses menggunakan pelbagai jenis gajet, tetapi juga melalui telefon pintar dan i-pad.

Katanya, di negara-negara maju seperti Jepun dan Amerika syarikat, permintaan terhadap e-book telah mengatasi permintaan buku bercetak.

“Malah, fenomena ini amat membimbangkan kerana natijahnya boleh menyebabkan buku bercetak tidak lagi diterbitkan pada masa depan dan dianggap sebagai bahan muzium dan arkib saja.

“Di sinilah pentingnya peranan kita sebagai masyarakat prihatin seharusnya peka terhadap perubahan serta cabaran yang sedang melanda dunia perbukuan.

“Bagaimanapun, saya yakin bahawa kewujudan buku secara fizikal masih kekal relevan terutama bagi pembaca yang gemar membaca secara santai seperti novel,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pesta Buku Melaka 2018, di pusat beli-belah KipMart, di sini.

Hadir sama, Exco Perpaduan, Sumber Manusia, NGO & Hal Ehwal Pengguna, G. Saminathan; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris dan Pengarah Eksekutif KIP, Datuk Eric Ong Kok Liong.

Menurut Adly, sesebuah buku itu lahir dari gagasan dan pemikiran mendalam yang dicurahkan dalam bentuk tulisan oleh sang pengkarya menerusi idealisme serta magis tersendiri yang menonjolkan daya intelek penulis itu sendiri.

Ujarnya, bukan semua insan dilahirkan dengan bakat sebagai penulis, sebaliknya mereka adalah golongan bertuah yang dianugerahkan ketajaman pemikiran.

“Penulis memainkan peranan penting dalam mencorak serta membentuk keperibadian dan ketamadunan sesebuah masyarakat, malah mampu membantu hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara maju dengan mentaliti kelas pertama menjelang tahun 2020.

“Kesan kepada kewujudan amalan membaca dalam kalangan rakyat akan menghasilkan permintaan yang tinggi dalam industri buku.

“Permintaan ini akan memberi kesan positif dalam pasaran domestik industri buku dan seterusnya memapankan lagi kelangsungan pertumbuhan industri buku,” katanya lagi.

CATEGORIES