Inovasi pelajar FTKMP UTeM menyerlah

Inovasi pelajar FTKMP UTeM menyerlah

DURIAN TUNGGAL 31 Okt. – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) meraih kemenangan besar di 3rd National Innovation Competition 2018 (3rd INNOCOM) di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis, baru-baru ini.

Kejayaan dirangkul itu adalah hasil inovasi para pelajar tahun akhir Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan (FTKMP) UTeM.

Dekan FTKMP UTeM, Prof. Madya Dr. Umar Al Amani Azlan berkata, kejayaan dibolot barisan pelajar FTKMP UTeM itu setelah memenangi dua Anugerah Khas.

Anugerah Khas itu meliputi empat pingat emas dan dua perak, sekali gus melonjakkan nama UTeM di persada inovasi.

Menurutnya, senario itu menzahirkan pelajar FTKMP UTeM yang beraliran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) punyai kepakaran dan kemahiran tinggi, sekali gus membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Katanya, Anugerah Khas diperolehi itu menerusi produk inovasi ‘Car Door Map Pocket’ yang mesra alam dari serat kenaf dan ‘Easy-Hook’ pula adalah produk untuk mengatasi masalah getah paip dalam tandas.

“Pada masa sama, kedua-dua produk tersebut turut memenangi tema ‘Green Innovation Inspires Safer World’, sekali gus menggondol wang tunai RM650 berserta sijil penghargaan.

“Sementara itu, empat produk inovasi yang berjaya merangkul empat pingat emas pula adalah produk ‘Eco-Helmet Safety From Nature’, Easy-Hook, Car Door Map Pocket dan ‘Semi Automatic H2OiL Purifier’,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pingat perak pula diraih menerusi projek inovasi ‘Developement of a New River Trash Collector’ dan ‘Ultra Lightweight 3D Printing Orthopaedic Calf Cast’.

Sementara itu, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri FTKMP UTeM, Prof. Madya. Ir. Dr. Mohd Yuhazri Yaakob berkata, penglibatan pelajar dalam aktiviti pertandingan inovasi perlu diperkasakan lagi.

Menurutnya, ianya agar tahap pemikiran pelajar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dapat diperkukuhkan.

Jelasnya, ia seiring dengan kemajuan fenomena Revolusi Perindustrian 4.0 yang hebat diperkatakan pada masa kini, sekali gus memupuk budaya kreatif dan inovatif selain memberi impak positif kepada kemajuan komuniti, ekonomi dan negara.

CATEGORIES