IPD MT optimis tangani kes pecah rumah, curi motor

IPD MT optimis tangani kes pecah rumah, curi motor

BANDAR HILIR 6 Mac – Penubuhan Strike Team House Breaking and Theft (HBT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah (MT) awal tahun ini bertujuan membantu menangani jenayah di daerah khususnya melibatkan kes pecah rumah dan curi motosikal.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pasukan khas itu diketuai seorang pegawai kanan dan 12 anggota polis IPD MT.

Menurutnya, Strike Team HBT berperanan menumpukan proses siasatan lanjut seperti mengesan suspek yang terlibat dengan kes berkaitan.

“Mereka juga bertanggungjawab menjalankan soal siasat, mengumpul maklumat risikan sehingga membawa kepada kejayaan kepada pertuduhan saksi yang ditangkap di mahkamah,” katanya pada sidang media di IPD MT di sini, semalam.

Jelas Afzanizar, penubuhan pasukan khas tersebut membawa kepada dua kejayaan menumpaskan dua geng pecah rumah dan kilang di daerah ini.

Semalam, MelakaKini melaporkan dua geng penjenayah dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah dan kilang dikenali sebagai Geng Arab Batu Hampar dan Geng Sugu Batu Berendam yang bergiat aktif sejak awal tahun lalu berjaya ditumpaskan Polis Daerah Melaka Tengah dengan bantuan pasukan Strike Team HBT.

Sementara itu, Afzanizar berkata, bedasarkan laporan dan siasatan dijalankan sehingga 28 Febuari lalu, sebanyak 120 kes pecah rumah dan curi motorsikal di daerah ini dicatatkan.

“Bagaimanapun, bagi tahun 2018 kes pecah rumah di daerah ini mencatatkan penurunan yang mana hanya 463 kes dilaporkan berbanding 493 kes bagi tahun 2017,” katanya.

 

CATEGORIES