IPM rapatkan hubungan bangsa dan bahasa

IPM rapatkan hubungan bangsa dan bahasa

Tetamu bergambar bersama AJK IPM selepas majlis tersebut.

AIR KEROH 2 Okt. –  Persembahan lagu-lagu pengakap yang dinyanyikan oleh Bendahari Ikatan Persuratan Melayu (IPM), Othman Drus amat menarik minat pelajar Institut Pendidikan Guru, Kampus Antarabangsa yang berkunjung ke Melaka baru-baru ini.

Ketua Satu IPM, Abd. Razak Adam amat terharu di atas kepercayaan diberikan kepada IPM meraikan pelajar tersebut yang datang dari 12 negara.

Katanya, program seperti itu dapat mengenalkan aktiviti IPM kepada mereka di samping bermesra dengan penulis di IPM.

Menurut Razak, pelajar tersebut dengan penuh minat mengikuti deklamasi puisi, persembahan dondang sayang, syair, nazam yang disampaikan ahli IPM.

Tidak ketinggalan pelajar tersebut turut membuat persembahan termasuk mendeklamasikan puisi dalam Bahasa Melayu, nyanyian dalam bahasa Tagalog dan bahasa Portugis.

Hadirin turut sama menyanyikan lagu-lagu pengakap Selamat Berjumpa, Di sini Senang Di sana Senang dan Sayonara.

Erkin Bekkulov dari Uzbekistan membaca puisinya.

IPM sekali lagi diberi kepercayaan meraikan 18 pelajar dari 12 negara dalam program mendekati sanubari rakyat negara ini terutama Negeri Melaka. Majlis meraikan mereka diadakan di Taman Seribu Bunga Air Keroh, Melaka.

Sementara itu, pelajar dari Brunei, Nurhafizatulhikmah Seribini amat seronok dapat datang menghadiri majlis tersebut.

Katanya, beliau dapat mempelajari sastera di negeri ini dengan lebih dekat dan beliau cukup berminat dengan dondang sayang yang dinyanyikan sepasang murid Sekolah Kebangsaan Air Molek.

Erkin Bekkulov dari Uzbekistan yang boleh bercakap Bahasa Melayu turut mendeklamasi puisi bercadang ingin datang lagi ke Melaka pada masa akan datang.

Oleh SHAHARUDDIN DAUD

CATEGORIES