Isu catu barang, naik harga tak munasabah, orang ramai disaran lapor KPDNHEP

BUKIT KATIL 18 Jan. – Semua golongan masyarakat disaran memberi kerjasama sekiranya terdapat isu kenaikan harga barangan dan aktiviti pencatutan berlaku di negeri ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Azeem Nazuri berkata, orang ramai boleh menyalurkan maklumat dan aduan sekiranya terdapat isu tersebut berlaku di mana-mana premis di negeri ini.
Ujarnya, sekiranya mereka mempunyai maklumat berkaitan, boleh menyalurkan aduan bersama keterangan yang jelas seperti butiran lengkap termasuk alamat premis, butiran barangan beserta harga dan resit pembelian.
“Setiap butiran tersebut akan memudahkan siasatan yang akan dikenakan ke atas pengusaha kantin atau peniaga premis lain sekali gus pertingkatkan keberkesanan tindakan KPDNHEP,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pemeriksaan di kantin Sekolah Kampung Tun Razak, dekat sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Melaka (JPNM) , Mohd Rashid Mohd Sidek; Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan JPNM, Jasmi Abu Samah serta tetamu lain.
Sementara itu Azim menegaskan, mana-mana individu yang melakukan aktiviti mencatut atau mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah boleh dikenakan tindakan undang-undang pada Seksyen 14 (1) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutuan 2011.
Malah, isu penandaan harga boleh dikenakan tindakan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993.
“Sekiranya gagal mematuhi peraturan berkenaan, mereka boleh didenda hingga RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi kesalahan pertama dan RM250,000 atau lima tahun penjara bagi kesalahan berikutnya.
“Bagi pertubuhan perbadanan atau syarikat pula, denda RM500,000 bagi kesalahan pertama dan RM1 juta bagi kesalahan kedua dan berikutnya,” tegasnya.
Dalam pada itu, orang ramai boleh membuat aduan melalui pelbagai talian termasuk aplikasi Whatsapp di talian, 019-2794317 atau menghubungi 06-234 5822 atau pun menghadirkan diri terus ke pejabat KPDNHEP Melaka.