Isu fitnah : 1 lagi laporan polis dibuat

JASIN 7 Feb. – Satu lagi laporan polis dibuat berhubung kenyataan fitnah dilakukan pemimpin sebuah parti pembangkang melalui ceramah pada 2 Februari lalu.
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Jasin, Yuhaizad Abdullah mendakwa, tuduhan dilemparkan parti politik terbabit tidak benar.
Katanya, ia berhubung kenyataan mengatakan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan menguruskan dana tabung masjid di negeri ini sedangkan MAIM tidak mengeluarkan kenyataan berkaitan isu itu.
Jelasnya, MAIM tidak mengeluarkan kenyataan mahupun cadangan dalam menguruskan tabung masjid, malah ia hanya diuruskan oleh setiap pengurusan masjid masing-masing seluruh negeri ini.
Menurutnya, parti terbabit turut melemparkan tuduhan jahat mengenai pengurusan masjid tidak mempunyai jawatankuasa yang ditadbir.
Ujarnya, ia hanya diuruskan oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pimpinan negara sejak Mei tahun lalu.
“Ini satu fitnah dan tuduhan jahat terhadap MAIM dan kerajaan negeri, sedangkan pengurusan masjid beroperasi seperti biasa sehingga 31 Disember tahun lalu.
“Sekarang kita telahpun membuat temu duga bagi pemilihan jawatankuasa masjid yang baharu dan akan diumumkan MAIM
sendiri pada bulan ini.
“Jadi, atas tuduhan ini, kami tampil bersama sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) Amal Relief Malaysia (ARiF) Melaka untuk membuat laporan polis.
“Ianya agar pihak polis dapat melakukan siasatan terhadap tuduan dilemparkan kepada MAIM & kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis berhubung isu tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini, pagi tadi.
Beberapa laporan lain turut dibuat berhubung isu sama dilaporkan oleh Pemuda AMANAH Melaka, AMANAH Kawasan Alor Gajah, Angkatan Wanita (AWAN) Alor Gajah dan Pemuda AMANAH
Kawasan Alor Gajah, baru-baru ini.
Semua laporan polis tersebut telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.