Isu gaji pemain MU selesai November


ADLY
AYER KEROH 5 Okt. – Isu gaji pemain pasukan Melaka United (MU) akan diselesaikan sepenuhnya pada bulan November 2018, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) Adly Zahari.
“Tunggakan gaji pemain sehingga Julai telah dibayar sepenuhnya dan selepas ini kita akan bayar baki dua bulan gaji tertunggak Ogos dan September pada November ini,” katanya.
Adly berkata demikian kepada pemberita pada sidang media mesyuarat Exco Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, semalam.
Tambah Adly, MU akan memperhebatkan lagi pembangunan di peringkat akar umbi dengan menyediakan program pembangunan seawal peringkat sekolah rendah bagi melahirkan lebih ramai pemain berkualiti pada masa hadapan
Jelasnya, MU tidak bercadang untuk menggugurkan khidmat mana-mana pemain importnya pada musim depan walaupun pasukan tersebut berdepan masalah kewangan.
“Khidmat pemain import masih diperlukan bagi mengekalkan prestasi MU supaya kekal dalam Liga Super pada musim depan,” ujarnya.