Isu kegiatan haram Selat Melaka : Tindakan tegas diambil – Norhizam

AYER KEROH 4 Feb. – Pelbagai masalah terdapat di sekitar perairan negeri ini berhubung isu jeti haram, lokasi kapal berlabuh mendatangkan kesan khususnya golongan nelayan.
Exco Pertanian & Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee berkata, pihaknya menemui pelbagai masalah berikutan operasi pemantauan di perairan Selat Melaka yang dilakukan, baru-baru ini.
Katanya, operasi bersama Jabatan Perikanan negeri, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Melaka dan Polis Marin mendapati, terdapat beberapa lokasi kapal berlabuh yang tidak teratur telah mengganggu nelayan di kawasan itu.
Ujarnya, kapal terbabit berelabuh tidak mengikut ketetapan dan radius yang ditetapkan, malah pihaknya akan mengambil tindakan terhadap kegiatan tersebut.
Melalui operasi itu, Norhizam berkata, terdapat kira-kira 40 bot pasir yang dibiarkan dan tidak diselenggarakan kira-kira dua tahun dahulu menyebabkan pelbagai masalah berlaku.
Menurutnya, bot terbabit dipercayai dari China dan dibiarkan tanpa ada sebarang projek di kawasan perairan berkenaan.
Selain terdapat beberapa lokasi jeti haram ditempatkan di sekitar perairan ini bagi memudahkan tujuan penyeludupan serta kegiatan haram di negeri ini
“Saya tegaskan semua pihak yang terlibat dalam kegiatan ini agar mengambil tindakan segera kerana mengganggu mata pencarian nelayan di negeri ini.
“Saya akan berbincang bersama pengurusan bot berkenaan agar ia dialihkan di sebuah tempat agar ianya tidak mengganggu penduduk di kawasan ini,” katanya ketika ditemui MelakaKini di Seri Negeri, hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Norhizam turut menegaskan kepada semua pengusaha penginapan dan chalet di negeri ini agar tidak terlibat dengan kegiatan pemerdagangan manusia.
Jelasnya, hasil siasatan mendapati, ada antara pengusaha bersubahat menjadikan lokasi penginapannya sebagai lokasi sementara menempatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebelum diambil oleh agen haram yang lain.
“Kita juga ada dengar luahan nelayan lain terhadap beberapa projek melibatkan perairan di negeri ini yang memberi kesan kepada mereka akibat dari tumpahan minyak berlaku.
“Malah, ada antara nelayan mengalami kerosakan pada pukat akibat laluan kapal yang tak menentu, selain pukat mereka dipenuhi pasir, sekali gus mengganggu punca pendapatan mereka.
“Saya akan buat operasi ini berterusan bagi membendung segala kegiatan haram berlaku di perairan negeri ini dan tak akan berkompromi dengan mana-mana pihak di atas kegiatan haram yang seharusnya akan diambil tindakan tegas kepada mereka,” katanya.