Isu kelambatan pembayaran kepada pesawah perlu diselesaikan

Isu kelambatan pembayaran kepada pesawah perlu diselesaikan

JASIN 31 Jan. – Kerajaan disaran agar terus memantau Beras Nasional (Bernas) bagi memastikan isu kelambatan pembayaran kepada para pesawah yang jual padi kepada kilang dapat diselesaikan dengan segera.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata pihak Bernas tidak seharusnya memandang remeh terhadap isu ini kerana golongan pesawah di kawasan Parlimen Jasin sedang menghadapi masalah pendapatan bulanan yang lambat untuk saraan hidup mereka.

“Pihak kerajaan PH harus pantau dan ambil tindakan ke atas Bernas yang lambat membuat pembayaran kepada para pesawah yang jual padi kepada kilang di kawasan setempat.

“Para pesawah yang menjual padi pada kilang beras Bernas sejak awal bulan Disember sehingga kini masih belum mendapat pembayaran. Alasan kilang padi tersebut diswastakan tidak boleh diterima oleh akal fikiran yang waras,” katanya menerusi satu kenyataan miliknya baru-baru ini.

Jelasnya, walaupun kilang padi terbabit sudah diswastakan, pihak Bernas sewajarnya memantau prestasi setiap kilang itu agar tidak menyusahkan golongan pesawah amnya.

“Bernas harus ambil tindakan keatas kilang-kilang padi yang lambat membuat pembayaran kepada warga pesawah.

“Dalam isu ini, kerajaan harus membuat pertimbangan untuk memecahkan ‘monopoli’ Bernas dalam industri beras di negara kita,” katanya.

Tambahnya, beliau sudah melawat kawasan-kawasan sawah di sekitar Parlimen Jasin bagi mengenalpasti punca masalah, seterusnya mencari formula positif bagi membantu golongan pesawah.

“In Shaa Allah, saya akan adakan perjumpaan dengan pihak Bernas secara kadar segera untuk terus memberi tekanan agar masalah ini ditangani secara secepat yang mungkin,” tegasnya.

CATEGORIES