Jadikan al-Quran pedoman hidup

Jadikan al-Quran pedoman hidup

WAKIL JKM Johor menerima replika cek selaku juara keseluruhan.

ALOR GAJAH 23 Okt. – Ketua Menteri, Adly Zahari menyeru umat Islam di negeri ini meningkatkan semangat perpaduan dengan menjadikan al-Quran sebagai perlembagaan hidup demi keharmonian di negeri yang bertuah ini.

Beliau berharap agar umat Islam menjauhkan persengketaan dan berpecah- belah, sebaliknya pupukkan perpaduan dan kebersatuan dalam menjadikan umat Islam sebagai umat yang lebih kuat.

“Ini kerana al-Quran merupakan hidayah dan petunjuk lengkap dan sempurna diturunkan kepada Rasul terakhir, Rasullullah SAW yang mengandungi panduan untuk semua aspek dan tata cara kehidupan manusia di dunia ini secara keseluruhannya.

“Ia meliputi akidah, syariah, ekonomi mahupun pentadbiran termasuk ibadat dan akhlak yang berkaitan soal sosial dan kemasyarakatan,” tegasnya.

Adly berkata demikian pada penutup Majlis Tilawah Al-Quran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia Ke-43 di Dewan Serbaguna Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREATE), Simpang Ampat di sini, Ahad lalu.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Ahli Parlimen Tangga Batu, Prof. Madya Rosnah Aluai.

Hadir sama, Ketua Pengarah JKM, Mohd Fazari Mohd Salleh; Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr. Hishamuddin Mohd Hashim.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Zulkifli b. Ismail; Pengarah Institut Sosial Malaysia, Dr. Azmi Bakar dan Timbalan Pengarah JKM Melaka, Ismail Baharom.

Jelasnya, inisiatif penganjuran majlis seumpama ini amat penting dan berharga dalam mengagungkan al-Quran dan meninggikan syiar Islam.

“Ia juga dapat melahirkan lebih ramai generasi Ulul Albab yang cintakan al-Quran selain memberi peluang kumpulan sasar membudayakan al-Quran dalam kehidupan seharian,” katanya.

Majlis Tilawah Al-Quran JKM Ke-43 bermatlamat memartabatkan al-Quran serta meninggikan syiar Islam selain menanam minat peserta dan pendengar dalam memperbaiki mutu bacaan ayat suci itu.

Ia juga bagi menggalak serta mengasah kemampuan membaca al-Quran dalam kalangan klien JKM dan meningkatkan silaturahim antara klien dan warga JKM.

Pada majlis itu, JKM Johor dinobat juara keseluruhan apabila menjuarai enam dari lapan kategori yang dipertandingkan.

Peserta Johor pula bagi kategori 18 tahun ke atas, Md. Rahim Md. Jafari diumum Qari Terbaik dan peserta Kelantan, Che Minah Awang Qariah Wanita Terbaik.

CATEGORIES