Jailani optimis bangunkan industri pelancongan Riau

PEKANBARU (INDONESIA) 15 Feb. – Exco Pelancongan, Warisan & Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis menyambut baik keyakinan dizahirkan Gabenur Terpilih Riau, Drs. H. Syamsuar terhadap Melaka berikutan banyak lokasi pelancongan boleh dibangunkan di wilayah berkenaan.
Malah katanya, beliau bersetuju hubungan dua hala antara satu rumpun Melayu ini perlu dieratkan, sekali gus memudahkan sebarang perkongsian idea atau penambahbaikan pelbagai sektor di kedua-dua negara yang boleh dilaksanakan bersama.
Menurutnya, jika Melaka terkenal sebagai lokasi perubatan khusus buat warga Riau khasnya Pekanbaru, rakyat Melaka juga perlu mengetahui bahawa Pekanbaru punyai banyak pusat-pusat pengajian agama.
Katanya, pusat-pusat pengajian agama tersebut mungkin boleh dimanfaatkan sebagai salah satu sektor menarik kedatangan orang ramai ke ibu negeri Riau.
“Terdapat banyak pusat-pusat pengajian agama, pesantren-pesantren yang saya rasa perlu diterokai oleh rakyat Melaka, jika orang Pekanbaru atau Provensi Riau boleh ke Melaka untuk berubat, kita juga boleh ke sini mendalami pengajian agama Islam,” katanya.
Muhammad Jailani berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Syamsuar di kediaman beliau di sini, Rabu lalu.
Kunjungan hormat itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai & Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin; Pegawai Khas Ketua Menteri, Jabatan Ketua Menteri, Mohamad Ali Shariff; Pengurus Besar Sungai Melaka Ventures Sdn. Bhd., Rafee Ibrahim serta wakil agensi berkaitan.
Delegasi PPSPM Melaka diketuai Muhammad Jailani berada di Pekanbaru sempena program Kunjung Balas PPSPM ke Pekanbaru selama empat hari bermula Isnin lalu.
Syamsuar merupakan bekas Bupati Siak akan mengangkat sumpah jawatan Gabenur Riau pada 19 Februari ini.