JAIM, JAKIM & UTeM ganding bahu bendung budaya LGBT

JAIM, JAKIM & UTeM ganding bahu bendung budaya LGBT

ANTARA peserta seminar yang hadir.

DURIAN TUNGGAL 25 Okt. – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah menganjurkan Seminar Peradaban dan Kecelaruan Gaya Hidup Kontemporari 2018 di sini, semalam.

Seminar yang diadakan di Masjid Saidina Abu Bakar, UTeM itu sebagai usaha membendung masalah penularan budaya golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Program itu turut mendapat kerjasama Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Omar Jaafar mewakili Ketua Menteri hadir merasmikan seminar tersebut.

Hadir sama, Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib; Pengarah JAIM, Md. Azhan Samat dan Pengarah Pusat Islam UTeM, Dr. Muhd Akmal Noor Rajikon.

Bercakap kepada media, Shahrin berkata, pelbagai maklumat dikongsikan dalam seminar berkenaan termasuk isu LGBT dari aspek psikososial, psikologikal, piskospiritual, agama dan kesihatan.

“Seminar berkenaan juga sebagai platform kepada peserta melaksanakan pendekatan Islam dalam menangani isu penyakit HIV dan AIDS khususnya berkaitan LGBT,” katanya.

Sementara itu, Md. Azhan berkata, kerajaan negeri melalui JAIM dengan kerjasama pelbagai pihak mengambil inisiatif menyantuni golongan LGBT dengan melaksanakan aktiviti temu seru ke kawasan yang dikenal pasti.

Ujarnya, aktiviti tersebut bermatlamat mengajak golongan tersebut menyertai program rawatan dan pemulihan secara sukarela.

Jelasnya, antara objektif program tersebut bagi membimbing dan memberikan kesedaran kerohanian dan spiritual terhadap golongan LGBT melalui pendekatan agama untuk kembali kepada fitrah.

“Di Melaka tahun ini, kita telah mengadakan tiga program rawatan dan pemulihan kepada golongan ini dengan kerjasama NGO yang terlibat secara langsung dalam memulihkan mereka yang terlibat dengan LGBT ini,” katanya.

Menurutnya, selain program temu seru terhadap komuniti LGBT, program kesedaran kepada masyarakat awam terdiri pelbagai peringkat dengan penglibatan pelbagai pihak turut giat dilaksanakan.

“Selain mendekati golongan tersebut dan aspek penguatkuasaan undang- undang, JAIM dengan kerjasama pelbagai pihak giat turun padang mengadakan program seminar dan sebagainya bagi memberi pendedahan tentang isu ini.

“Perkara ini sangat penting agar kita dapat mencegah diri serta turut ada rasa tanggungjawab dan berpengetahuan dalam membantu golongan LGBT ini dari aspek psikosodial, psikologikal, psikospiritual dan kesihatan,” katanya.

Beliau menambah, JAIM juga akan merangka program pendedahan dan kesedaran terhadap isu berkaitan LGBT khususnya di peringkat sekolah menengah di negeri ini pada tahun hadapan.

Pada program itu, lebih 400 peserta terdiri mahasiswa, kakitangan UTeM, pelajar sekolah dan guru-guru hadir untuk mendapatkan kefahaman dan kesedaran yang tepat terhadap isu yang semakin hangat diperkatakan masa kini.

CATEGORIES