JAKIM akan lancar Tabung Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi

JAKIM akan lancar Tabung Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan melancarkan Tabung Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi menerusi masjid dan surau di bawah pentadbirannya dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata dalam satu kenyataan ia sebagai inisiatif membantu mangsa dan keluarga bencana gempa bumi dan tsunami di Sulawesi serta sebagai salah satu cara menzahirkan simpati atas musibah itu.

“JAKIM menzahirkan rasa simpati atas musibah ini dan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat. Sesungguhnya ini merupakan ujian dan ketentuan takdir Allah yang Maha Esa buat hambaNya yang tidak mampu untuk kita menghalangnya,” kata beliau.

Mohamad Nordin berkata Indonesia merupakan negara anggota Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) selain Malaysia, Brunei dan Singapura yang mempunyai hubungan sangat erat khususnya dalam bidang kebajikan dan dakwah.

Beliau juga menyeru rakyat Malaysia supaya sama-sama menyumbang dan mendoakan agar Allah SWT mengembalikan kesejahteraan kepada para penduduk yang terlibat.

“Semoga usaha yang sedikit ini menzahirkan Islam sebagai agama rahmatan lil a’lamin,” katanya.

CATEGORIES
TAGS