“Jangan ambil alih pentadbiran masjid dan surau”

“Jangan ambil alih pentadbiran masjid dan surau”

RAHIMAN Abu. Foto MK/Din Ahmad

MELAKA 27 Feb. – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya tidak mencuba mengambil alih pentadbiran masjid dan surau berikutan ketidaktentuan politik sekarang.

Jabatan itu melalui laman sosial Facebook rasminya mengingatkan anak kariah di masjid masing-masing supaya tidak mencuba berbuat demikian kerana jawatan pengerusi, timbalan pengerusi, imam, bilal, noja dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid tidak ada kaitan dengan situasi politik semasa.

Katanya, kedudukan pegawai syarak dan AJK masjid di setiap kariah kekal kerana pelantikan mereka adalah di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) serta mendapat kelulusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai ketua agama Islam negeri ini.

“Rakyat diseru menghormati pegawai syarak dan AJK masjid sedia ada dan sebarang percubaan untuk mengambil alih pengurusan masjid serta surau secara paksa atau yang berkaitan dengan unsur politik hendaklah dihentikan.

“Jawatan mereka kekal kerana tidak ada kaitan dengan situasi politik semasa. Sehubungan itu, seluruh masjid dan surau diseru menganjurkan solat hajat memohon negeri dan negara ini sentiasa aman dan harmoni,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid At Taqwa, Kampung Bukit Darat, Tanjung Kling dekat sini, Rahiman Abu Hassan, 50, berkata, setakat ini kenyataan berkenaan disebarkan JAIM kepada pegawai syarak melalui kumpulan WhatsApp dan Facebook.

“Kami tidak menerima surat mengenai perkara itu atau kenyataan yang diminta oleh JAIM untuk dipasang pada papan kenyataan masjid dan surau.

“Walaupun tiada surat atau kenyataan secara formal, anak kariah seharusnya memahami bahawa keadaan politik sekarang bukan lesen untuk bertindak mendesak perubahan dalam pentadbiran masjid dan surau diubah,” katanya ketika ditemui di kampung itu hari ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari hari ini dilaporkan berkata, setakat ini semua EXCO kerajaan negeri menjalankan tugas seperti biasa kerana Pakatan Harapan (PH) masih berstatus quo sebagai kerajaan negeri.

PH dan Barisan Nasional di negeri ini masing-masing mempunyai 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala BERSATU memiliki dua kerusi selepas parti berkenaan keluar PH.

CATEGORIES