Jangan ratapi kelukaan

Jangan ratapi kelukaan

DALAM hidup kita, bohong jika tidak pernah merasa terluka. Terluka dan kecewa dengan pelbagai konflik atau permasalahan adalah normal dan setiap waktu kita dengari.

Tidak kira sama ada terluka dan kecewa dengan rakan baik, adik-beradik atau mungkin ada yang terasa hati dengan ibu bapa dan mungkin juga ibu bapa terasa hati dengan anak-anak atau saudara-mara, itu sering didengari.

Lebih banyak kita dengar adalah terluka dengan manusia akibat cinta. Setiap saat boleh kita dengar ada saja keterlukaan yang tercipta hasil dari hubungan dengan manusia.

Justeru, untuk menzahirkan keterlukaan berkenaan ada pelbagai cara yang dilakukan kita.
Ada yang meratap dan bersedih sepanjang masa tanpa boleh berbuat apa saja dan ada juga boleh melangkah semula dan dengan lebih bersemangat kerana tidak terlalu melayan perasaan.

Sebagai Islam, kita dilarang meratap hiba setiap saat kerana Allah SWT tidak suka ada umatNya hidup dalam kesedihan atau tidak berbuat apa-apa untuk keluar dari konflik kesedihan.

Kepada yang kini sedang berdepan konflik lebih-lebih lagi konflik cinta, Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari mungkin boleh melegakan tekanan dengan nasihat darinya.

Bermula dalam sebuah ceramah agama biasa di sebuah masjid di ibu negara, Ustaz Iqbal Zain mula mencipta jalan popular tersendiri apabila banyak ceramah agamanya lebih-lebih lagi ceramah bagaimana mengubati hati terluka popular di laman sosial Youtube.

Kata-kata ustaz bermata cantik ini cukup menenangkan. Lebih tenang apabila dia menyampaikan ceramah agamanya dengan suara yang sungguh lembut tanpa terjerit-jerit.

Tanpa jenaka seperti ditekankan Datuk Ustaz Kazim Elias, Ustaz Iqbal Zain menambah hati sesiapa saja yang menonton video ceramah agamanya lebih-lebih lagi renungan matanya yang tajam selain wajahnya yang redup.

Dalam satu ceramahnya yang disiarkan di Youtube, Ustaz Iqbal Zain berkali-kali menegah umat Islam agar jangan terlalu mencintai seseorang kerana kecantikan atau nafsu.

Tegasnya, cintailah dan sayangi seseorang bersandarkan kepada imannya iaitu adakah seseorang itu mencintai Allah SWT atau sebaliknya.

Katanya, jika seseorang itu mencintai Allah SWT bermakna seseorang itu tidak akan mengecewakan kita jika kita mencintai beliau.

“Jangan juga kita bersandar seseorang sepenuh hati kerana pasti seseorang itu (yang kita cintai) akan mengecewakan kita.
“Ini berikutan sifat manusia tiada sempurna, yang tidak mengecewakan kita dan boleh beri apa yang kita mahukan dengan sempurna adalah Allah SWT saja,” nasihatnya.

Justeru, kepada anda yang sedang mencari-cari nasihat sesuai sebagai santapan rohani bagi mengubati kekecewaan, anda boleh melihat banyak video Ustaz Iqbal Zain yang kini sedang hangat di Youtube.

CATEGORIES