Jangan silap baca jadual Bekalan Air Berjadual

Jangan silap baca jadual Bekalan Air Berjadual

SUHA Amran terpaksa mengambil air di pusat agihan setempat di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara dekat Alor Gajah. MK/Din Ahmad

MASJID TANAH 18 Mac – Bekalan Air Berjadual disediakan untuk memudahkan pengguna membuat persiapan menggunakan air dalam keadaan terpaksa menadah air untuk kegunaan pada hari tiada air dibekalkan.

Bagaimanapun, kesilapan membaca jadual bekalan air disediakan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) di zon masing-masing akan menyebabkan pengguna terpaksa menghadapi kesukaran untuk menggunakan air di kediaman masing-masing.

Ini kerana air sudah habis digunakan sedangkan tong dan bekas air tidak diisi semula dengan air ketika bekalan masih ada.

Bagi pengguna di zon dua di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di sini, kesilapan membuat jangkaan catuan berkenaan menyebabkan mereka terpaksa mengambil air di pusat agihan setempat, selain ada yang terpaksa mandi di pusat itu.

Suha Amran, 24, Azrul Aminurashid Ibrahim, 35, dan Mohd Faiz Mohd Shahrin, 18, adalah antara mereka yang tersilap membuat jangkaan catuan air hingga menyebabkan mereka terpaksa mengambil air di pusat agihan setempat SAMB di kampung itu.

Suha berkata, lazimnya bekalan air di tempat tinggalnya di sebuah taman di Tanjung Bidara tidak pernah terputus pada hujung minggu.

“Tempat saya dikategorikan sebagai zon dua catuan air dan catuan hanya dimulakan pada Isnin lalu sedangan pengguna di zon pertama sudah dikenakan catuan sejak 29 Januari lalu.

“Lazimnya, bekalan air pada hujung minggu tetap ada walaupun air kecil tetapi kali ini tiada langsung air sejak jam 5 petang semalam hingga sekarang dan saya tidak ada pilihan lain, selain terpaksa mengambil air di pusat agihan setempat,” katanya ketika ditemui di pusat itu baru-baru ini.

Azrul Aminurashid berkata, beliau tersilap meneliti jadual catuan air kerana menjangka bekalan air tidak dicatu semalam tetapi tenyata jangkaan itu meleset.

“Saya tidak menadah air semalam kerana menyangka ada bekalan air tetapi sejak jam 5 petang semalam hingga hari ini tiada bekalan air dan saya terpaksa mandi di pusat agihan setempat,” katanya.

Mohd Faiz berkata, beliau juga tersilap meneliti jadual catuan air dan terpaksa mengambil air di pusat berkenaan berbanding ketika bekalan air berjalan seperti biasa pada hujung minggu lalu.

EMPANGAN Masjid Lama Machap, iaitu sebahagian daripada Empangan Durian Tunggal, di Alor Gajah hampir kering berikutan taburan hujan yang amat rendah sejak April 2019. MK/Din Ahmad.

Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali dilaporkan berkata, kadar takungan air di Empangan Durian Tunggal, di sini sekarang hanya 4,970 juta liter air atau 16.1 peratus manakala Empangan Jus di Jasin hanya menakung 10,475 juta liter air (24.2 peratus) dan Empangan Asahan juga di Jasin yang mampu menampung 480 ribu juta liter air (68.9 peratus).

CATEGORIES