Jangan terima nilai barat secara membabi-buta – Dr Mahathir

Jangan terima nilai barat secara membabi-buta – Dr Mahathir

BANGKOK – Tatkala menyampaikan syarahan umum kepada audien yang memenuhi setiap ruang di dalam dewan di Universiti Chulalongkorn di sini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan mereka untuk tidak meniru apa sahaja daripada dunia Barat.

Pemimpin berusia 93 tahun itu berkata, sesiapa pun tidak sepatutnya mengikut cara barat secara membabi-buta.

“Walaupun kita tidak boleh hidup secara terasing daripada seluruh dunia, sistem nilai selalunya tidak sama. Saya sentiasa mendukung nilai-nilai Asia. Tetapi ada sesetengah orang fikir nilai-nilai yang sesuai untuk mereka ikuti adalah nilai-nilai Barat,” katanya.

Perdana menteri, yang melakukan lawatan dua hari di Thailand, mengakhiri lawatannya itu hari ini dengan menyampaikan syarahan umum bertajuk “Hubungan Dua Hala Malaysia-Thailand Dalam Konteks ASEAN”, dengan beliau turut menjawab soalan daripada audien.

Mengakui terdapat kebebasan untuk menerima nilai-nilai, Dr Mahathir berpendapat orang Asia cenderung untuk menerima nilai-nilai Barat tanpa teragak-agak.

Dr Mahathir turut menegaskan bahawa Malaysia pada ketika ini tidak menerima budaya LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) seperti didukung oleh dunia Barat.

Menurut perdana menteri, itu adalah pilihan mereka jika orang Barat mahu menerima budaya LGBT tetapi rakyat Malaysia tidak boleh dipaksa untuk menerimanya.

“Sistem nilai kami adalah sebaik yang lainnya,” katanya.

Ini adalah lawatan pertama Dr Mahathir ke negara ini sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Ketujuh Malaysia.

CATEGORIES
TAGS