#janganbayarchallenge : cabaran bodoh! – netizen

#janganbayarchallenge : cabaran bodoh! – netizen

AYER KEROH 19 Feb.- Media sosial kebelakangan ini kerap dihebohkan dengan pelbagai cabaran yang dilontarkan oleh netizen, ada yang menerima sambutan dan ada terima kritikan.

Baru-baru ini, cabaran #janganbayarchallenge yang diperkenalkan oleh dua sahabat di laman Instagram juga tidak terlepas daripada kritikan orang ramai.

Sebuah video yang memaparkan cabaran itu dimuat naik di Instagram oleh seorang pengguna akaun, Mohd Zairul Hafizi Khalis di sekitar bandaraya Melaka, baru-baru ini.

Dalam video yang menerima lebih dari 500,000 tontonan di laman Instagramnya, Zairul bersama rakannya dilihat melarikan makanan dan minuman di beberapa kedai tanpa membayar duit.

Tindakan itu menerima kecaman hebat netizen dengan ada yang menyifatkan ia sebagai satu cabaran yang ‘bodoh’ dan memalukan.

Netizen juga menyatakan bahawa tindakan itu boleh dilihat sebagai mencuri dan tidak beretika.

Bagaimanapun, Zairul kemudian tampil memberi penjelasan kisah disebalik rakaman video tersebut.

Menurut Zairul, adegan di dalam video itu sebenarnya dilakonkan semula selepas dia membayar makanan dan minuman yang dilarikannya itu.

“Saya dan seorang lagi rakan saya Muiz buat video tersebut sebagai satu bahan hiburan di Instagram. Lagipun, kami sudah membincang dengan semua yang terlibat dalam video tersebut sebelum dirakam,” katanya.

CATEGORIES